Memahami siapa kita 


Hishamuddin Rais

BAGAIMANA caranya nak memperjelaskan kepada  umum siapa kita ini? Bagaimana caranya hendak menerangkan kewujudan kita? Siapa kita ini sebenarnya?

Ini bukan pandangan falsafah. Ini tentang agenda siapa kita. Mengenal dan memahami siapa kita  memiliki sejarah yang amat panjang.

Dari awal wahid kita memiliki identiti atau pengenalan diri. Identiti diri ini kita terima daripada datuk nenek moyang kita ribuan tahun dahulu.

Ini sebelum wujudnya kad pengenalan. Sebelum wujudnya konsep kampung, konsep negeri dan negara. Sebelum wujud konsep bangsa dan bahasa. Sebelum ada agama – kita telah ada kita.

Sebelum wujud kontrak sosial.

Manusia adalah insan sosial. Manusia hidup berkelompok dan berkumpulan. Apa yang memaksa kita hidup berkelompok dan berkumpulan ialah keperluan ekonomi.

Membuat, mencari dan pembuatan ekonomi inilah yang menjana wujudiah umat manusia. Pembuatan ekonomi mengarah manusia ke kiri atau ke kanan.

Untuk hidup kita perlu makan. Mencari makanan inilah yang memaksa kita berkumpulan. Masuk akal kalau kita memburu lebih daripada seorang untuk berjaya mengepung dan melembing kijang.

Masuk akal jika kita berkumpulan menyelamat anak bini kita daripada diserang oleh gajah.

Keperluan hidup memaksa kita untuk hidup berkumpulan.

Apa yang saya tulis ini adalah pertalian sejarah ribuan tahun dahulu. Kini telah banyak berubah bentuk. Tetapi isinya masih sama. Kumpulan dan rasa kekitaan masih ada.

Saya perlu menimbulkan perkara identiti dan siapa kita ini bukan dengan hendak mengapi-apikan perasaan kekitaan. Tidak. Ini bukan tujuan tulisan ini.

Tulisan ini berniat untuk menjadi cermin agar kita sesama kita melihat diri kita sendiri. Kita memahami siapa kita.

Tulisan ini bukan kajian ilmiah. Ia lahir daripasa pemerhatian yang tekun. Ini pandangan empirikal Hishamuddin Rais.

Keadaan politik dan suasana budaya hari ini memanggil saya untuk melakar pandangan empirikal saya untuk dikongsi ramai.

Seyogia diingatkan bahawa pandangan empirikal saya ini berpandukan juga pada teori The Other atau Yang Lain.

Mengikut pandangan ahli falsafah Perancis, Simone de Beauvoir (1908-1986): Yang lain ini adalah asas cara manusia berfikir. Apabila kita mula berfikir tentang sesuatu dengan spontan kita akan memikirkan lawannya – Yang Lain.

Yang lain ini adalah individu yang dilihat oleh kumpulan kita sebagai bukan daripada kumpulan kita. Yang lain ini memiliki perangai dan budaya yang lain daripada kumpulan kita.

Orang Melayu melihat orang luar menjadi Yang Lain. Pendatang menjadi yang lain. Bangla bukan  kita. Myanmar bukan kita. Cina bukan kita. Mereka tak sama dengan Melayu. Kita dan mereka berbeza dalam pelbagai hal kebiasaan kita.

Yang lain ini juga membolehkan kita mengenal siapa kita. Maknanya: aku nampak kau. Aku tidak menguasai jasad kamu. Aku tidak mendengar apa dalam fikiran kamu. Justeru, kau dan aku berbeza.

Kita sekarang dalam zaman pasca moden. Kita telah masuk, melalui dan melintasi zaman moden. Pada zaman pasca moden, politik identiti menjadi penting.

Politik identiti yang kita hadapi hari ini wujud di Tanah Melayu ini hasil daripada penjajahan Inggeris. Pada satu ketika dulu identiti kita ditakrif  sebagai Orang Kedah, Orang Jawa, Orang Ulu,  Orang Kelantan – tempat dan wilayah kita tinggal menjadi pentakrif.

Konsep Melayu yang kita fahami hari ini wujud apabila Inggeris menjajah kita. Untuk tujuan  penjajahan, Inggeris telah mengelompokkan kita semua ini sebagai Melayu. Terus dilembagakan dalam Perlembagaan Tanah Melayu.

Konsep kampung, mukim, daerah dan negeri ini adalah konsep awal sebelum identiti Melayu. Inggeris memodenkan dan mewujudkan identiti Melayu dengan memperkenalkan apa yang dipanggil sempadan.

Sempadan ini diukur oleh Inggeris untuk tujuan menjajah, untuk menjarah harta kekayaan dan memudahkan pungutan cukai. Daripada konsep sempadan ini muncul pula konsep negeri dan negara.

Negeri dan negara ini memperkuatkan lagi teori yang lain – The Other. Contohnya: Sungai Golok jadi sempadan. Di seberang sana Orang Siam bukan orang kita.

Penjajah mewujudkan sempadan-sempadan  negeri dan negara. Semua ini adalah konstruk politik dan konstruk sosio ekonomi.

Untuk mengaut untung, penjajah Inggeris membawa pendatang Cina dari Tanah Besar China. Inggeris membawa Tamil dari Tamil Nadu.

Dua bangsa pendatang dari luar sempadan ini  menjadi yang lain dari kaca mata Melayu. Cina dan India bukan Melayu, justeru mereka bukan orang kita. Mereka orang lain.

Seperti ribuan tahun dahulu kita berkumpul sesama kita untuk memburu rusa atau babi. Hari ini perkara yang sama sedang berlaku. Bukan untuk memburu babi tapi niat dan tujuan masih sama: berkumpulan untuk mencari makan.

Kita gemblengkan tenaga kita bersama untuk tujuan ekonomi.

Dalam konteks moden hari ini, kita sesama   berkumpul, bersatu dengan niat untuk mengepung ekonomi. Untuk mengepung ekonomi  hari ini kita perlu kuasa. Kuasa dan punca kuasa hanya lahir dengan politik. Politik berkumpulan dalam dunia moden hanya tersusun dalam sebuah parti.

Maka orang India ada MIC – Malaysian Indian Congress. Orang Cina ada Malaysian Chinese Association. Orang Melayu ada United Malays National Organisation.

Inilah kelompok asal yang tersusun awal daripada usaha untuk mengambil alih kuasa setelah penjajah Inggeris mahu berundur.

Pada awal sebelum Inggeris mengundur dapat dilihat seperti ada kesatuan dan kerjasama yang kukuh antara kumpulan-kumpulan ini.

Kesatuan dan kerjasama muncul kerana pada ketika itu yang dimusuhi, kerana mereka orang lain, ialah orang Inggeris.

Apabila Inggeris telah pergi maka tiga bangsa ini – India, Melayu dan Cina mula berhadapan dengan satu sama lain. Maka yang lain di sini bukan lagi Inggeris tapi untuk Melayu ialah Cina dan India. Untuk India, yang lain ialah Melayu  dan Cina. Untuk Cina, yang lain ialah India dan Melayu.

Semua kumpulan ini seperti ribuan tahun dahulu kembali kepada sikap dan perangai kumpulan asas untuk memburu kehidupan. Kumpulan ini merujuk kembali kepada asal usul nenek moyang. Ini dilakukan untuk memperkuat kumpulan dalam usaha untuk mengepung makanan.

Puncak perebutan untuk mengepung makanan ini ialah tragedi 13 Mei. Sesudah 13 Mei jelas dilihat  proses mengumpul orang kita menjadi semakin kuat.

Politik moden – politik elektoral – memperkuatkan lagi identiti kekitaan ini. Dalam usaha untuk mencari sokongan adalah lebih senang untuk kembali kepada asas kaum, asas etnik, asas agama dan asas bangsa.

Revolusi Perancis melaungkan: liberte, egalite dan fraternite – kebebasan, kesamaan dan persaudaraan.

Ketika Revolusi Perancis berlaku di Perancis tidak ada Arab Algeria, tidak ada Arab Maghribi, tidak ada Cina atau  tidak ada Negro berkulit hitam. Justeru, melaung dan berslogan kepada bangsa kaum etnik sendiri lebih mudah.

Jika Tanah Melayu tanpa Cina dan India, saya yakin orang Melayu juga akan melaungkan slogan yang sama seperti laungan Revolusi Perancis yang bermula pada tahun 1789.

Tahun 2023 di Perancis atau di Malaysia, laungan kebebasan, kesamaan dan persaudaraan ini hanya menjadi retorik meraih undi.

Kembali pada persoalan awal: siapa kita?

Ini rumusan awal daripada pandangan empirikal  saya. Pada tahun 2023 ini, Melayu ada dalam tiga kelompok dominan.

Melayu pertama: Melayu Malaysia. Cirinya liberal, dwibahasa, sekular. Kelompok ini menerima yang lain dengan hati terbuka. Kelompok ini giat bersuara hal hak asasi manusia.

Melayu kedua: Melayu Melayu. Kumpulan ini  konservatif. Penguasaan bahasa dunia selain daripada Bahasa Melayu agak kurang. Malah penguasaan bahasa ibunda juga kurang. Sikap tak suka pada yang lain tebal. Mereka selesa berpayung dengan kumpulan yang tebal Melayunya.

Melayu ketiga: Melayu Nak Jadi Arab. Kumpulan ini baru muncul pasca Revolusi Iran 1979.  Kumpulan ini memiliki pandangan dunia yang amat  konservatif. Mereka melihat ajaran agama mereka yang betul. Agama dan ritual yang lain sebagai sesat atau salah.

Ciri menonjol Melayu Arab ini ialah mereka mahu menjadikan Malaysia ini berbudaya Arab, justeru mereka menolak kepelbagaian budaya Melayu yang telah wujud sebelum Arab sampai dengan agamanya.

Cina juga dalam tiga kelompok dominan.

Pertama: China Malaysia. Kumpulan ini selesa dengan Bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa ibunda. Kiblat kelompok ini ialah Malaysia. Mereka mengamalkan di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Selesa dengan kepelbagaian budaya termasuk yang bukan berasal dari Malaysia.

Kedua: Cina China. Kelompok ini kuat dan tebal kecinaan. Ramai dari kelompok ini yang gagal menggunakan lebih daripada satu bahasa.  Kecinaan amat tebal, contohnya, kelompok ini akan menolak songkok untuk ke Parlimen kerana bukan budaya Cina. Tapi akan memakai kot dan tali leher yang selesa mereka terima walaupun ini pakaian Eropah.

Sikap tidak menerima Melayu sebagai pentakrif budaya dan politik Malaysia ini terserlah dalam kumpulan.

Ketiga: Cina Cina China. Kelompok ini pada satu ketika dulu bergelumang dalam kumpulan kiri seperti Parti Komunis Malaya. Mereka melihat Tanah Besar China sebagai rujukan mereka.

Justeru, dalam lagu dan cerpen garapan kumpulan ini ada kuda berlari di ladang gandum. Ada salju di atas gunung. Kelompok ini tidak berjejak di bumi nyata.

Masyarakat India juga ada tiga kumpulan.

Pertama: India Malaysia. Kelompok ini sama. Seperti Melayu Malaysia dan Cina Malaysia.

Kedua: India cuba jadi Melayu. Ini satu fenomena baru. Mereka ini kadang kala lebih Melayu daripada Melayu.

Kelompok ini meninggalkan budaya dan agama mereka agar diterima sebagai Melayu.

Ketiga: Kumpulan yang satu ketika dulu menghantar duit ke India. Membeli harta di India. Malah ada yang memesan isteri dari India.

Pentakrifan yang saya buat ini muncul daripada pemerhatian yang semakin jelas dibaca dan dilihat satu dekad kebelakangan ini.

Pada hemat saya, jika ekonomi terus merudum,  laungan dan jeritan suara kepada kumpulan akan didengar lebih kuat. Suara kekitaan makin kuat. Yang lain berpotensi dianggap musuh.

Suasana akan bertambah buruk antara Melayu dengan Cina apabila geopolitik Lautan Sunda bergolak. Sikap agresif China Merah akan membawa malapetaka kepada Tanah Melayu.

Alam Melayu akan jadi kacau bilau.

Semua kelompok dan kumpulan akan kembali kepada naluri primordial. Semua akan kembali kepada zaman berkelompok seperti zaman  mengepung dan memburu babi atau rusa.

Yang lain – the other –  tanpa ampun akan dijadikan musuh. Amin. – 12 April, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen