Kumpulan mahu terlibat pelan KKM untuk doktor kontrak


Ravin Palanisamy

HDK menggesa ia dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi membincangkan isu lain yang berpanjangan berkaitan doktor kontrak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2023.

HARTAL Doktor Kontrak (HDK) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyatakan kebimbangan mengenai keadaan semasa doktor kontrak dan petugas penjagaan kesihatan kontrak lain di Malaysia.

Dalam memorandum itu, ia mengucapkan terima kasih kepada usaha baru-baru ini yang diambil oleh kementerian untuk menangani beberapa isu yang dihadapi oleh doktor kontrak tetapi menggesa pertimbangan terhadap tiga permintaan penting lain.

Antaranya, HDK meminta kumpulan itu dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi membincangkan isu lain yang berpanjangan berkaitan doktor kontrak.

“Kami percaya dengan penglibatan wakil daripada Sekretariat Hartal Doktor Kontrak dapat memberi lebih makna dalam perbincangan dengan mewakili suara dasar yang berkepentingan,” bunyi memorandum itu.

Kedua, kumpulan itu menggesa kerajaan menyegerakan pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan, sambil menambah suruhanjaya ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dan jaminan kerjaya pekerja penjagaan kesihatan kontrak di Malaysia.

Akhir sekali, HDK meminta kementerian dan kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan kebajikan pekerja penjagaan kesihatan kontrak di Malaysia.

“Ini merangkumi isu jaminan pekerjaan, perkembangan kerjaya, dan juga kelebihan lain yang dinaikmati oleh staf kesihatan lain yang berstatus tetap, tanpa berat sebelah.

“Kami berpegang teguh dengan keyakinan sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan mampu menarik lebih ramai tenaga kerja profesional yang berkaitan dengan sektor kesihatan di Malaysia, yang secara tidak langsung mampu memberi jaminan keutuhan dan kejayaan sistem kesihatan di Malaysia,” kata kumpulan itu lagi.

Kumpulan itu menggesa Putrajaya menangani segera isu dihadapi oleh pekerja penjagaan kesihatan kontrak di negara ini.

“Segala jerih dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang pandemik Covid-19 tidak boleh pandang sepi begitu sahaja.

“Menjadi harapan kami semua agar permohonan kami dipertimbangkan sewajarnya dan langkah proaktif diambil segera bagi menjamin kebajikan dan jaminan kerjaya buat semua staf kesihatan berstatus kontrak di Malaysia,” tambahnya.

HDK menjadi suara doktor kontrak di negara ini apabila mereka menganjurkan mogok aman di seluruh negara pada 26 Julai 2021, membantah sistem kontrak kerajaan dalam melantik pegawai perubatan yang dilaksanakan pada akhir 2016. – 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen