Umno kekal duri dalam daging kerajaan perpaduan 


Faisal Tehrani

RAMAI bertanyakan saya apakah kesimpulan yang diperolehi dari beberapa analisis dan juga survei dilakukan oleh kami ahli akademik mengenai PRU15, dan apakah nujuman atau prediksi bagi Pilihan Raya Negeri untuk enam buah negeri mendatang?

Dalam beberapa konferens dan seminar yang melibatkan penganalisis dan saintis politik yang turun padang sebelum, ketika, dan selepas PRU15, baik di Canberra, Australia dan ISEAS-Yusuf Ishak, Singapura, saya dapati konklusinya masih sama. Izinkan saya melaporkan.

Iaitu, pertama, Umno susut sokongan ketika PRU15 kerana rakyat menolak rasuah, korupsi dan Najib Razak.

Kedua, pengundi memilih Perikatan Nasional bukan sangat kerana sukakan Abah atau PAS tetapi lantaran berasa tidak ada pilihan antara Barisan Nasional, dan Pakatan Harapan.

Ketiga, rakyat agak boleh menerima Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tetapi kekal menolak Ahmad Zahid Hamidi dan juak-juak Umno lainnya.

Keempat, Pilihan Raya Negeri adalah detik berbahaya untuk Pakatan Harapan kerana Umno tetap tidak mahu berubah.

Sekarang elok saya huraikan sedikit dapatan di atas.

Dalam banyak perbincangan ahli akademik mengenai keputusan PRU15, secara konsensus kami melihat PRU15 ialah detik kesedaran pengundi untuk menghukum pemimpin rasuah dan korupsi.

Rakyat kekal benci dan menyampah dengan rasuah dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi. Nama Najib Razak amat busuk ke mana sahaja kami pergi ketika turun ke lapangan dan mengutip data serta survei.

Akan tetapi yang lebih buruk ialah nama Ahmad Zahid Hamidi. Dalam ramai-ramai responden kami di lapangan, amat kurang mereka yang boleh menerima Zahid. Kita sendiri melihat berapa banyak undi yang beliau perolehi dalam PRU lalu.

Pun, pengundi bisa mengerti mengapa Zahid diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan. Itu sama sekali tidak  bermaksud pengundi girang dengan kemasukan semula beliau dalam kerajaan.

Anwar harus mengerti, tindak tanduk Umno melantik pemimpin yang sedia buruk dan busuk ke jawatan-jawatan GLC didendami rakyat dalam diam. Tidak perlu saya jejerkan nama mereka. Carian di atas talian akan membawa kita kepada nama-nama mereka.

Suara-suara pemimpin Umno dari kem presiden yang tidak sedar-sedar akan kebencian rakyat terhadap rasuah dan Najib hanya menunjukkan Umno memang tuli dan tidak peduli, dan pengundi berhak menghukum dan menyula mereka sekali lagi, yang terdekat dalam Pilihan Raya Negeri.

Kedua, rata-rata juga penganalisis politik dan ahli akademik yang turun lapangan, dalam seminar dan konferens yang saya ikuti menyatakan pengundi sedar slogan PNBest bukan sangat best, atau PN bukan sangat bersih dan stabil; malah mereka akur PN bodoh dan kacau, tetapi menyatakan mereka tiada pilihan lain lantaran Pakatan Harapan dituduh disaka oleh DAP. Hal ini dibantu oleh naratif kebencian, nyalaan ekstremisme, dan tipu perdaya parti tersebut.

Mereka yang berani mengundi DAP dan Pakatan tempoh hari kebanyakannya kerana gagal disihir isu saka ini, dan lebih bimbang negara disakau baik oleh Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional.

Kebanyakan rakan ahli akademik berkongsi, yang survei selepas PRU15 menunjukkan ada sedikit perubahan dalam kalangan rakyat khusus terhadap PN. Dakwaan-dakwaan rasuah terhadap pemimpin PN dan keluarga mereka, selain perangai mereka di Dewan Rakyat menjelaskan PN memang bodoh dan kacau.

Akan tetapi, harus diingatkan yang momok saka DAP kekal dalam kalangan orang Melayu. Dan kecenderungan serta trend ini akan dibawa ke Pilihan Raya Negeri selepas Hari Raya ini.

Ulang siar yang serupa akan terjadi di mana pengundi Melayu akan tergamak memilih pemimpin bodoh berbanding DAP. Ini kerana ‘conditioning’ ketuanan Melayu-Islam sudah menjadi kematu dalam kalangan kaki Melayu.

Ketiga, betullah yang reaksi rakyat terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim sedikit membaik berbanding sebelum PRU15. Rata-rata kami yang turun ke lapangan mutakhir ini berkongsi pandangan yang sama. Ini normal kerana kebanyakan Perdana Menteri akan menikmati bulan madu, paling tidak untuk enam bulan pentadbirannya.

Namun demikian, kebencian rakyat terhadap korupsi kekal menguasai pandangan pengundi dan sekali lagi saya harus nyatakan, nama Ahmad Zahid masih tidak pulih. Bahkan kelihatan makin menebal.

Dalam erti kata lain, suka atau tidak suka, Umno adalah sisa daging melekat di celah gigi selepas berbuka puasa, dan terselit ingin keluar semasa terawih. Benci atau tidaknya, Umno masih kemuncup dalam reformasi Anwar.

Ini menjadikan kedudukan Anwar amat genting. Mungkin juga Anwar wajar dikasihani. Kerana kejayaan reformasi terletak di atas bahu sekumpulan ahli parlimen Umno yang disangsi oleh ramai.

Keempat, ekoran daripada semua di atas, Pilihan Raya Negeri tidak dapat tidak, adalah satu masa pungutan suara untuk Pakatan Harapan dan isyarat terhadap Umno jika mereka terus berjuang demi pembebasan Najib Razak.

Oleh faktor bergumul di atas, di sebalik ketidakbersihan dan kebebalan segelintir pimpinan Perikatan Nasional; malangnya mereka bakal menjadi pilihan pengundi Melayu.

DAP, jika pun mereka benar-benar efektif dan cekatan lagi cekap dalam kerajaan, seperti yang ditunjukkan oleh Anthony Loke dan Hannah Yeoh, selama-lamanya dijadikan sasaran kumpulan rasis, dan ekstremis dalam kalangan PAS.

Keadaan tersepit Anwar ini hanya akan dapat diatasi jika kerajaan perpaduan tidak memberi terlalu banyak muka kepada Umno. Juga mengingatkan Umno, mereka bukan lagi parti keramat dan pengundi sudah tahu tembelang. 

Rakyat benci dengan pemimpin yang enggan membayar cukai berjutaan dan memang bersalah. Apa sahaja manipulasi naratif tidak akan membersihkan Najib Razak adalah pesalah yang sudah dipenjarakan. Bahkan mengampunkan Najib akan meletakkan Anwar serta silap haribulan nama baik Yang Dipertuan Agong dalam kedudukan tidak lagi manis.

Apa rasanya sama ada kelat atau maung kita tidak tahu, tetapi kebosanan pengundi kepada rasuah memang tidak boleh dibendung. Pilihan Raya Negeri kelak boleh menjadi cerminan.

Kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan berada dalam buih dan busa seronok. Mod sikap mereka adalah mod sikap mereka yang selesa. Tidak ramai yang cakna, dan sedar bahawa Umno adalah duri dalam daging.

Ia adalah daging busuk tersentil di celah gigi selepas berbuka, dan berisiko membatalkan solat kerana menjongol di waktu solat terawih. – 11 April, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen