Tangani 56 muka surat isu pelan struktur KL, kata kumpulan


Noel Achariam

PSKL 2040 ditangguh hingga 31 Mei bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus oleh DBKL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2023.

PENANGGUHAN pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) adalah baik tetapi isu yang dibangkitkan perlu ditangani, kata Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), M Ali.

Beliau berkata SKL mengenal pasti 56 muka surat isu selepas melihat draf pelan asal pada Julai 2020 tetapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum kembali kepada mereka.

“Kami memerlukan DBKL untuk memasukkan apa yang kami cadangkan dan jika mereka tidak dapat melakukannya maka mereka perlu memberi kami alasan.

“Mereka mesti melibatkan diri dengan kami. Mereka menelefon tahun lalu untuk pendengaran awam dan kami memberikan maklum balas mengenai kesilapan dan pelencongan daripada pelan itu.

“Adalah penting mereka merangka pelan yang betul. Kami melakukan ini untuk kepentingan bandar, bukan kepentingan peribadi,” kata Ali.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata PSKL 2040 ditangguhkan sehingga 31 Mei untuk membolehkan DBKL terus berhubung dengan pihak berkepentingan.

Ini katanya, akan memberi DBKL masa mencukupi untuk berbincang dengan pihak berkepentingan dan mendapatkan maklum balas sewajarnya mengenai pelan itu.

Anwar yang mempengerusikan sesi pembentangan pelan itu oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL pada Sabtu berkata beliau maklum yang proses penyediaan dokumen itu dijalankan mengikut keperluan yang ditetapkan dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berharap penangguhan itu akan memberi ruang kepada DBKL untuk mendengar dan menjawab pandangan rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata ia penting bagi memastikan pegawai dasar perancang bandar mempertimbangkan suara pelbagai pihak, termasuk persatuan penduduknya.

“Ini penting untuk memastikan pembangunan mampan dan tiada komuniti berasa suara mereka diabaikan. Saya rasa sebelum ini penduduk Kuala Lumpur berasa tidak terlibat dalam proses perbincangan pembangunan Kuala Lumpur.

“Saya juga rasa ada kewajaran DBKL memberi maklum balas kepada persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (berkenaan cadangan kerana ada) yang memaklumkan kepada saya mereka banyak bagi pandangan tetapi tidak ada maklum balas,” katanya.

Ali berkata semakan semula PSKL 2040 yang dibentangkan di dialog awam pada 29 Mac nampaknya berbeza dengan draf yang sebelum ini diedarkan untuk rundingan awam pada 2020.

“Tidak jelas sama ada draf semasa yang dibentangkan di dialog awam sudah menangani pelbagai isu yang dibangkitkan oleh SKL dan pihak berkepentingan lain dalam penyerahan bertulis dan lisan pada Mei dan Julai 2020.”

Beliau berkata isu yang dibangkitkan termasuk kekurangan data dan integriti.

“Kami menekankan pelbagai kesilapan dan data tidak konsisten yang digunakan dalam draf 2020, yang membawa kepada persoalan mengenai integriti asas pelan itu.

“Kekurangan dasar yang ditakrifkan dengan jelas. Walaupun perunding membuat beberapa rujukan lisan kepada dasar semasa pembentangan, ia tidak jelas semasa melihat draf yang disemak buat kali pertama, apakah dasar terperinci itu.”

Ali berkata DBKL mesti berkongsi mana-mana versi semakan pelan itu dan menangani isu yang dibangkitkan.

“Mereka (DBKL) kata ambil maklum komen kami. Tetapi, tidak menunjukkan kepada kami sebarang versi semakan.

“Apa yang mereka masukkan (dalam pelan) dan apa yang tidak dimasukkan. Kami mahu melihat salinannya. DBKL perlu menyediakannya kepada pihak berkepentingan.”

Beliau berkata pada 20 Mac lalu mereka mengadakan taklimat dengan perunding DBKL yang mengatakan mungkin menaikkan ketinggian bangunan kediaman, rumah mampu milik tidak dibina berhampiran pengangkutan awam dan juga tiada perancangan yang rapi mengenai infrastruktur utiliti.

“Ini adalah kebimbangan kami. Kami mahu mengadakan mesyuarat minggu ini dan agar DBKL memberikan salinan pelan itu kepada pihak berkepentingan.” – 11 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen