Yang Berhormat cermin moral tinggi, berintegriti


G Manimaran

FOKUS semua sudut, malah seluruh dunia kembali beralih kepada langkah Umno mahu mendapatkan pengampunan penuh ke atas Najib Razak, bekas perdana menteri dan presidennya.

Umno mahu menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh Najib. Pelbagai teori, pandangan dan andaian membanjiri alam media sejak dua minggu lalu.

Apa jua keputusan bakal mencipta detik penting dalam sejarah politik negara.

Pengampunan diraja yang diberikan bukan perkara baharu. Ramai pemimpin politik yang pernah tersenarai dalam mereka yang memohon pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman, lalu dibersihkan daripada segala kesalahan.

Tetapi rekod kekal domain umum untuk diakses. Begitu juga mereka yang bukan ahli politik.

Ahli politik yang disabitkan kesalahan ada hak di bawah undang-undang negara untuk berbuat demikian, dan terserah kepada lembaga pengampunan untuk membuat pertimbangan sewajarnya demi kepentingan negara.

Daripada sudut mereka yang diampunkan, keputusan pengampunan penuh dilihat penting daripada pelbagai perspektif. Keputusan positif di pihak mereka akan membuka laluan untuk kembali aktif dalam politik.

Mereka boleh naik semula tangga politik untuk menyandang jawatan penting, sekali gus memenuhi impian lama yang terpendam dan disimpan ketat di dada, jiwa mereka.

Begitu juga mereka yang disabitkan kesalahan jenayah lain dan bukan jenayah, yang dikenakan hukuman terutama mereka yang masih bergelar anggota Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri.

Undang-undang semasa menyenaraikan beberapa kriteria yang membawa kepada keguguran kelayakan menjadi wakil rakyat, dan tidak boleh menjadi wakil rakyat dengan bertanding semula lima tahun atau akan terlepas satu pusingan musim pilihan raya.

Bermakna seseorang yang disabitkan kesalahan tidak boleh bertanding selama lima tahun dalam mana-mana pilihan raya. Kita pun melihat banyak kes melibatkan situasi ini.

Moral di sebalik kes ini ialah sejauh mana bebasnya seseorang wakil rakyat atau ahli politik daripada kesalahan yang mencemarkan nama mereka, malah turut menjejaskan imej landskap politik negara.

Sebagai seorang wakil rakyat wajarkah mereka perlu benar-benar bebas kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah? Wakil rakyat dan ahli politik perlu mencerminkan mereka adalah bersih, kekal berintegriti sepanjang masa dan memiliki nilai moral yang cukup tinggi.

Wakil rakyat dan ahli politik sentiasa dipandang tinggi. Mereka sentiasa menjadi teladan dan rujukan rakyat jelata. Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dan negara.

Kita menghantar wakil rakyat untuk duduk di dewan perundangan sebagai “penggubal undang-undang” yang akan menjadi kompas kepada hala tuju negara. Mereka menggubal undang-undang untuk dipatuhi oleh setiap rakyat.

Sekiranya wakil rakyat atau ahli politik sendiri gagal dalam tugas dan fungsi utama hakiki mereka bermakna mereka telah gagal secara holistik sebagai wakil rakyat “Yang Berhormat”. Setiap mereka perlu dan harus menghormati undang-undang yang diluluskan oleh dewan perundangan tidak kira masa, tempat dan kedudukan.

Undang-undang dibuat untuk menjaga kedaulatan negara dan kesejateraan rakyat. Apabila ia gagal dipenuhi dan ditunaikan, maka gagallah mereka atas kapasiti sebagai wakil rakyat, ahli politik dan “Yang Berhormat”.

Bertolak daripada keperluan ini, negara memerlukan perubahan kerangka perundangan. Kita memerlukan undang-undang yang melarang wakil rakyat dan ahli politik disabitkan kesalahan daripada bertanding dan bertanding semula walaupun mendapatkan pengampunan. Mereka perlu menjadi contoh dan teladan yang cukup tinggi kepada rakyat.

Semua orang tidak bebas daripada melakukan kesalahan. Mereka yang pernah dihukum tidak wajar kembali memegang jawatan politik dan sebagainya.

Kita perlu memikirkan keperluan ini dengan serius lagi mendalam. Kita perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara daripada pelbagai sudut termasuk moral dan bukan moral.

Ini termasuklah mereka yang masih menjadi wakil rakyat dan dihadapkan ke mahkamah. Berehat daripada jawatan yang disandang buat sementara waktu dan tidak lagi bertanding dalam pilihan raya sehingga dibersihkan sepenuhnya daripada kes mahkamah. Peruntukan ini wajar dijadikan mandatori dalam kerangka perundangan.

Keperluan ini bukan mudah untuk dilaksanakan. Kita memerlukan iltizam politik yang cukup tinggi. Jika mencintai negara, ahli politik perlu melakukan seesuatu sebab mereka sahaja yang ada platform untuk menggubal undang-undang. Rakyat boleh mengesyorkan perundangan ini, tetapi menjadikan ia kenyataan adalah anggota perundangan. Buktikan iltizam dan semangat murni ini di dewan perundangan.

Pendek kata kita memerlukan seseorang wakil rakyat dan mereka yang bergelar “Yang Berhormat” yang sempurna dan boleh dijadikan teladan oleh rakyat. Negara dan rakyat memerlukan “Yang Berhormat” yang tiada cacat-cela dalam perjalanan politik mereka. Jika tidak mereka akan kekal gagal dalam menjalankan tugas, fungsi dan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

Sama-sama kita fikirkan. Ahli politik perlu menunjukkan contoh yang baik untuk melahirkan dewan perundangan dan sistem pentadbiran yang bebas daripada segala kekurangan moral dan budaya berintegriti. Jika tidak kita akan terus tenggelam dalam konflik kepentingan diri, yang akan merugikan negara dalam jangka panjang.

Laporan media minggu lalu menyebut Dewan Rakyat meluluskan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Integriti, Governans dan Antirasuah bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus, serta pencegahan rasuah. Ia satu perkembangan yang meyakinkan dan peluang baik untuk mewujudkan persekitaran berintegriti tinggi.

Maka, kita perlu mengambil langkah besar dalam memenuhi keperluan yang amat penting ini. Semoga harapan ini akan menjadi kenyataan sebelum akhir mandat semasa. – 10 April, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen