Manifesto Gagasan Sejahtera tawar 20 perkara, antaranya mansuhkan GST


Noel Achariam Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memegang manifesto Gagasan Sejahtera yang bertemakan Malaysia Sejahtera. Manifesto itu menawarkan 20 intipati yang antaranya ialah memansuhkan GST, tol, dan juga PTPTN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Mac, 2018.

GAGASAN Sejahtera yang diterajui PAS menawarkan pemansuhan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, dan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Manifesto itu menawarkan bantuan pembelian kereta pertama bawah 1.3 liter menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan tanpa faedah. 

Turut diangkat dalam manifesto itu adalah pengurangan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000, dan juga memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan dengan mengangkat nilai al-Din.

“Walaupun kita tidak ada angka, sebesar manapun kita boleh atasi, pentadbiran kita tiada ketirisan, maka peruntukan cukup,” kata presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika membentangkan manifesto itu di Astana Banquet Hall di Cyberjaya, malam tadi.

Manifesto bertemakan Malaysia Sejahtera itu mengandungi 20 tawaran utama Gagasan Sejahtera.

Gagasan Sejahtera adalah gabungan PAS, Berjasa, dan Ikatan, yang membentuk kuasa ketiga selain Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

“Kita pernah memerintah Kelantan selama 28 tahun, dalam keadaan tersekat, peruntukan terhad, kita boleh memerintah 28 tahun kerana tidak ada ketirisan,” kata Hadi lagi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hasil kejayaan membangunkan Kelantan juga boleh dijadikan kayu ukur untuk rakyat memilih mereka dalam PRU14.

Untuk memperkasa golongan miskin, manifesto itu menawarkan bantuan makanan asas kepada fakir miskin secara bulanan.

Bantuan RM2,000 untuk wanita memulakan kerja dari rumah juga disenaraikan. 

Selain itu, program bas sekolah percuma dan mengangkat kembali fungsi sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Manifesto itu turut menawarkan pentadbiran Malaysia bebas rasuah, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, dan mengembalikan sistem kuota institusi pengajian tinggi.

Juga turut disebut rancangan untuk menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi rakyat dan membantu kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah khususnya buat golongan muda.

Tawaran lain yang dikemukakan ialah membangunkan penempatan baru mampu milik bagi generasi kedua dan ketiga Felda, selain membantu golongan OKU dan mewujudkan pusat komuniti keluarga sejahtera.

Manifesto itu juga akan menyemak nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah dan menambah bilangan doktor pakar bersandarkan nisbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Kata Hadi, Gagasan Sejahtera juga akan menganjurkan siri dialog untuk menerangkan lebih lanjut berkenaan manifesto mereka.

Selain itu, satu dokumen lengkap juga akan dikeluarkan bagi menjelaskan setiap butiran tawaran-tawaran mereka untuk rakyat. – 18 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen