Calon Perikatan bagi PRN Kelantan, Terengganu guna logo PAS, kata Muhyiddin


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata parti komponen dalam gabungan itu setuju untuk mengguna pakai kaedah sama seperti pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April 2023.

CALON Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS pada pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama parti komponen dalam PN yang bersetuju untuk mengguna pakai kaedah sama seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hari ini (semalam), kita bincang soal politik, persiapan untuk PRN. Alhamdulillah, nampak Kelantan hampir sudah bersedia.

“Kita juga dah hampir selesai bincang pembahagian kerusi, sekarang dah dibincangkan di peringkat pusat di bawah jawatankuasa rundingan kerusi. Lain-lain perkara yang dibincangkan soal manifesto, calon dan logo dipakai seperti pada PRU15 lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat dengan pimpinan PN Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob di Pasir Puteh malam tadi.

Ditanya sama ada pembahagian kerusi akan turut menggunakan kaedah sama seperti ketika PRU15, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan. – Bernama, 9 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen