Kedai berusia 120 tahun masih berkhidmat kepada penduduk Bakam


Desmond Davidson

Kedai runcit Seng Chiang era Brooke kelihatan sama seperti 120 tahun lalu. – Gambar Yi Chang, Facebook Sejarah Miri, 9 April 2023.

SEBUAH kedai runcit kayu berusia berabad lamanya yang dibina semasa zaman pemerintahan Brookes di Sarawak, terus berkhidmat kepada komuniti nelayan Bakam, berhampiran bandar Miri sehingga hari ini.

Menurut pakar sejarah tempatan Yi Chang, kedai itu dibina oleh Goh Mee Lok, seorang pendatang Cina dari Wilayah Fujian yang menetap di Kuala Bakam pada awal 1900-an.

Berhampiran tempat dikenali sebagai Pantai Hawaii, ia menjadi kedai untuk Goh berjual beli makanan laut dan getah dengan penduduk kaum Melanau, Kedayan dan Iban.

Walaupun kedai kini mungkin kelihatan berbeza sedikit daripada keadaan asalnya, seperti mempunyai bumbung zink, ia pada amnya masih sama seperti 120 tahun yang lalu.

Ia mampu bertahan daripada perubahan zaman kerana Goh menggunakan kayu belian, spesies kayu besi Sarawak  untuk membina rumah itu.

Dibina di atas tiang, seperti biasa rumah luar bandar yang dibina berhampiran dengan sungai pada masa itu, Goh mengupah tukang Melayu dan Iban untuk menjadikan kayu belian sebagai menjadi tiang dan alang rumah.

Bahan bumbung juga diperbuat daripada atap belian.

Yi berkata tiang belian, diperbuat daripada kayu tulen dan matang.

Apa yang menarik ialah pembinaan rumah itu juga menggunakan palam dan pasak kayu sebagai ganti paku untuk mengikat strukturnya.

Kedai itu dilaporkan mengalami ubah suai pembesaran semasa pendudukan Jepun apabila terdapat lebih banyak penambahan keluarga Goh.

Goh juga membina jeti di tepi sungai untuk bot berlabuh dan menurunkan apa sahaja barangan untuk jual beli dengan Goh.

Walaupun dilaporkan memiliki beberapa buah bot nelayan, beliau jarang keluar ke laut dan menangkap ikan.

Banyak bot datang dari sejauh Subis untuk menjual kepingan getah mereka. Kepingan getah yang dikumpul akan dijemur di loteng sebelum dihantar ke Miri.

Antara pekerja yang diupah Goh ialah pendatang dari China baru tiba yang akan bekerja untuknya selama beberapa tahun sebelum mereka berpindah untuk mencari rezeki di tempat lain.

Hari ini kedai itu dikendalikan oleh anak lelaki Goh, Stephen, dan isterinya kelahiran Kuching sebagai kedai runcit.

Menurut Stephen, terdapat tiga kedai kampung sedemikian pada satu ketika dahulu, Seng Chiang (kedai milik keluarga Goh), Pui Ming Ting, dan Hock Seng.

Dua yang lain memilih untuk menutup kedai dan berpindah dari Bakam, meninggalkan Seng Chiang meneruskan perniagaan di kawasan itu. – 9 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen