Warisan tak kisah gabungan PCS-PAN, asalkan jatuhkan BN Sabah


Jason Santos

Presiden Warisan Shafie Apdal mengakui pernah berunding dengan PCS namun kerana timbulnya beberapa isu, beliau membiarkan kepada penyokong untuk menentukan sama ada patut atau tidak adanya gabungan dengan mana-mana parti Kadazan Dusun Murut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018.

WARISAN tidak kisah bila Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Anak Negeri (PAN) bergabung asalkan matlamat utama para parti pembangkang ialah menjatuhkan rejim Barisan Nasional (BN) dikepalai Umno di Sabah.

Presiden Warisan Shafie Apdal mengakui pernah berunding dengan PCS namun kerana timbulnya beberapa isu, beliau membiarkan kepada penyokong untuk menentukan sama ada patut atau tidak adanya gabungan dengan mana-mana parti Kadazan Dusun Murut (KDM).

“Itu hak dia (Bumburing) untuk bentuk gabungan dengan mana-mana parti.

“Kita tak boleh halang mereka bekerjasama dengan PAN. Tapi apa yang penting kerajaan akan diambil alih oleh pemimpin Sabah daripada parti Sabah,” katanya kepada pemberita ketika majlis parti itu di Sepanggar hari ini.

PCS telahpun berunding mengenai pembahagian kerusi dengan Warisan dan Pakatan Harapan, bagaimanapun bersetuju untuk berkerjasama dengan PAN, menjadikan mereka gabungan pembangkang ketiga di Sabah.

PCS dan PAN menyasarkan 22 kerusi KDM dan tiga lagi kerusi campuran di Sabah, tanpa mengulas lanjut mengenai kerusi Parlimen. 

Sebelum ini Bumburing dilaporkan berkata, tidak ada satu parti pun yang boleh mendominasi parti-parti lain dan bertanding lebih 50% daripada kerusi yang dipertandingkan. 

Bumburing memberitahu The Malaysia Insight yang Shafie menawarkan PCS hanya enam kerusi sementara Warisan bercadang untuk bertanding di lebih 70% kerusi negeri. 

Shafie bagaimanapun berkata tidak adil buat parti-parti KDM untuk bertanding di semua kerusi KDM, selain menambah yang beliau turut berminat untuk berunding dengan beberapa pemimpin KDM berhubung pembahagian kerusi.

“Kita sudah berunding dan Bumburing beritahu saya yang dia nak bertanding di semua 22 kerusi KDM.

“Tapi apa saya boleh buat dengan timbalan presiden Darell Leiking dan naib presiden Peter Anthony yang juga pemimpin KDM.

“Saya tak faham bagaimana Bumburing nakkan enam kerusi. Sejujurnya, saya tak tahu bagaimana Bumburing tahu yang dia nakkan enam kerusi itu.

“Semua belum muktamad lagi. Jadi bagaimana kita boleh cakap tentang perceraian sekarang ini sedangkan kita tak berkahwin pun lagi?” kata Shafie merujuk kepada gabungan pembangkang di Sabah. – 18 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen