Perhimpunan Agung Umno 2023 dari 7 hingga 10 Jun 


Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di ibu negara hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2023.

MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno 2023 dari 7 hingga 10 Jun depan, kata Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata perhimpunan agung itu diadakan lebih awal berbanding kebiasaan, sebelum jentera parti turun padang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti. 

“Pada 14 Mei ini pula di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kita akan akan adakan konvensyen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dan kita juga akan sama-sama dengan parti lain bergerak bukan sahaja untuk PRN di enam negeri, tetapi juga sebagai pasukan untuk pemantapan kerajaan.

Jika kita satukan saf kepimpinan kerajaan ini akan kekal sehingga sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Umno Malaysia di WTC Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) amat menghargai kerjasama rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus mendukung aspirasi kerajaan.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Mohamad Hasan yang juga timbalan presiden Umno serta tiga naib presiden iaitu Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.– Bernama, 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen