
PENGERUSI DAP Johor Liew Chin Tong ada pesanan khusus buat Wee Ka Siong dalam persediaannya untuk bertanding Parlimen Ayer Hitam dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, dan mesejnya mudah: Ini bukan soal peribadi.
“Ini bukan hal peribadi, tetapi pertandingan yang akan menjadi simbolik peringkat nasional. Ia adalah kerusi yang kita boleh tonjolkan pilihan nyata antara kerajaan baharu dan kerajaan lama,” kata ahli Parlimen Kluang itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.
“Rakyat sedar ekonomi mereka tidak berapa elok dan teruk berbanding lima tahun lepas.”
Awal hari ini setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan yang Liew akan bertanding di Ayer Hitam.
Pengarah pendidikan politik DAP kebangsaan itu berkata keputusan partinya untuk meletakkan Liew di kerusi yang disandang Wee sejak 2004 itu terilham oleh petunjuk yang timbalan presiden MCA itu “senang tergugat.”
Liew berkata, dapat dilihat yang kem Wee “panik” selepas akhbar Sin Chew melaporkan spekulasi DAP mungkin bertanding di kerusi itu, yang mana sebelum ini merupakan kerusi tradisi PAS.
Petanda itu juga mengejutkan Liew, memandangkan pada 2013 Wee mengalahkan calon PAS Hu Pang Chow dengan majoriti mudah 7,310. Parlimen Ayer Hitam terdiri daripada 56% Melayu, 38% Cina dan 4% India.
“Jelas sekali,” kata Liew.
“Dia gelabah. Ada sesuatu yang tak kena. Jadi saya hantar orang saya siasat. Saya turun bertemu sendiri dengan orang ramai dan saya dapat rasa yang Wee Ka Siong sebenarnya sangat mudah tergugat.
Di bawah disertakan petikan wawancara dengan Liew:
TMI: Warga Ayer Hitam ada beritahu awak tentang kekurangan dalam kerajaan? Tentang Wee?
Saya fikir rakyat secara umumnya suka dengan Wee Ka Siong. Tetapi mereka tak suka dengan kerajaan. Mereka tak selesa dengan ekonomi. Awak lihat yang Ayer Hitam ini bukan kawasan yang maju. Ia tak kaya dan dekat dengan lebuh raya.
Jadi, apa orang muda buat? Bukan saja orang muda tapi apa kebanyakan orang buat untuk perbaiki taraf hidup? Sebaik habis sekolah, mereka masuk lebuh raya dan pecut ke luar, cari kerja di tempat lain.
Itulah keadaannya. Bukan dikalangan orang Cina dan India sahaja tapi orang Melayu pun. Ramai Melayu bekerja diluar dan mereka tak suka..
TMI: Apa pendapat awak tentang kajian Invoke yang Johor akan dimenangi oleh Pakatan dengan majoriti dua kerusi DUN?
Saya selalu cakap yang Pakatan ada peluang untuk menang lebih 10 kerusi Parlimen di Johor. Buat masa sekarang, DAP ada empat, PKR satu dan Bersatu ada Pagoh. Berdasarkan kajian Invoke, yang Pakatan ada peluang menang 16 kerusi Parlimen daripada 26 kerusi, inilah sebenarnya apa yang saya selalu cakapkan. Ia selari dengan apa yang saya dah cakap.
Kerusi DUN tak mudah berbanding kerusi Parlimen sebab rata-rata kerusi DUN adalah kerusi campuran. Hanya lapan kerusi yang ada lebih 60% Melayu.
Ini bermaksud, ada pertembungan antara pengundi. Jika ada perubahan oleh pengundi Melayu 15% yang mengundi Barisan Nasional sebelum ini, dah cukup untuk jatuhkan BN.
Kerusi DUN lebih kecil dan tak semudah disangka. Tapi jika kita boleh menang lagi 10 kerusi Parlimen dan setiap kerusi Parlimen boleh sekurangnya menang satu kerusi DUN, peluang untuk menang 30 kerusi DUN sangat mudah.
Untuk PRU14, tak mustahil untuk cakap yang 15% pengundi Melayu yang sebelum ini undi BN akan mengundi Pakatan. Dan kalau awak lihat perubahan 15% pengundi dari Umno kepada Pakatan, Umno mungkin akan kalah 30 hingga 35 kerusi.
TMI: Ada beberapa kajian seperti oleh Institute of Southeast Asian Studies yang menunjukkan pengundi Melayu Johor teragak-agak untuk sokong gabungan pembangkang dengan DAP ada dalam itu. Boleh awak beri komen tentang ini?
Kajian itu dibuat pada Mei sampai Jun tahun lalu. Saya percaya sudah ada sedikit perubahan sejak itu.
Jika awak lihat kebelakang, dari 2013 ke atas, (perdana menteri) Najib Razak ada strategi besar yang jelas. Secara mudahnya ia adalah trisula, serampang tiga mata.
Nombor satu, ambil keluar Anwar (Ibrahim) dari percaturan, jadi pembangkang pun tak ada pemimpin.
Nombor dua, jauhkan PAS supaya pembangkang hilang sokongan pengundi akar umbi Melayu.
Nombor tiga, jenamakan DAP sebagai “supremo” dan sebarkan kepada semua orang yang Lim Kit Siang nak jadi perdana menteri. Inilah secara mudahnya perencah yang diguna Najib. – 18 Mac, 2018.
BACA BERITA PENUH DI SINI
Komen