Bahagian pesawat ditemukan dalam pencarian helikopter hilang 


Helikopter pelbagai guna UH-60JA milik unit dalam Divisyen 8 GSDF yang berpangkalan di Kumamoto Prefecture, dipercayai terlibat dalam kemalangan. – Gambar Facebook, 7 April, 2023.

BEBERAPA objek yang ditemui mungkin daripada helikopter Pasukan Bela Diri Darat Jepun (GSDF) yang dinaiki 10 orang, termasuk seorang leftenan jeneral, yang hilang pada petang Khamis di perairan wilayah barat daya Okinawa, lapor Xinhua.

Jeneral Yasunori Morishita, ketua staf GSDF, memberitahu sidang akhbar pada petang Khamis bahawa helikopter pelbagai guna UH-60JA milik unit dalam Divisyen 8 GSDF yang berpangkalan di Kumamoto Prefecture, dipercayai terlibat dalam kemalangan.

Morishita mengesahkan nasib dua juruterbang, dua mekanik dan enam anak kapal dalam helikopter itu, kesemuanya anggota Pasukan Pertahanan Diri, termasuk Leftenan Jeneral Yuichi Sakamoto, ketua bahagian berusia 55 tahun, masih tidak diketahui.

Minyak dan objek mirip sebahagian daripada bilah kipas ditemui di kawasan laut kemalangan itu dipercayai berlaku, menurut Pengawal Pantai Jepun yang menghantar kapal peronda ke perairan berhampiran untuk mencari helikopter itu.

Sebuah bot penyelamat bertanda GSDF juga ditemukan dalam keadaan terlipat dan tidak ada orang di dalamnya, katanya.

GSDF sedang cuba mengesahkan sama ada objek tersebut merupakan sebahagian daripada helikopter yang hilang.

“Kami meletakkan keutamaan maksimum pada nyawa manusia dan operasi menyelamat,” kata Perdana Menteri Fumio Kishida kepada pemberita di Tokyo pada Khamis.

Helikopter itu hilang daripada radar pada kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan Khamis berhampiran Pulau Miyakojima Okinawa, sejurus selepas berlepas dari pulau itu untuk menjalankan kajian di kawasan darat berdekatan, menurut GSDF.

Keadaan cuaca buruk tidak dilaporkan semasa helikopter itu hilang. – Bernama, 7 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen