MUHAMMAD Yusoff Rawther hari ini dibenarkan Mahkamah Rayuan menarik balik rayuannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan berhubung saman difailkan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku seksual.
Tiada alasan dinyatakan atas penarikan rayuan tersebut.
Namun panel tiga hakim diketuai Lee Swee Seng memerintahkan bekas pembantu penyelidik itu untuk membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Anwar atas penarikan rayuan pada saat akhir yang hanya dimaklumkan pada bulan lalu.
Dua lagi hakim Hashim Hamzah dan Lim Chong Fong.
Peguam Anwar Navpreet Singh meminta Yusoff membayar RM5,000 sebagai kos susulan penarikan itu dibuat pada saat-saat akhir.
Yusoff memfailkan rayuan pada 28 September 2022 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Anwar.
Ia berkait dengan tuntutan difailkannya terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual oleh ahli politik itu pada 2018.
Yusoff mendakwa beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik Anwar yang memberi impak kepada kesihatan mentalnya.
Anwar kemudiannya memfailkan tuntutan balas.
Yusoff pada 4 Disember 2018 mendedahkan sumpah berkanun (SD) berkait serangan seksual ke atasnya yang didakwa dilakukan oleh Anwar.
Pejabat Peguam Negara pada 14 Januari 2020 mengumumkan terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah atas pertuduhan tersebut kemudian pada Julai 2021, Yusoff mengemukakan tuntutan tersebut ke mahkamah sivil. – 7 April, 2023.
Komen