Pakatan Terengganu perkenal calon, manifesto bulan depan


Radzi Razak

Dalam sidang media Pakatan Harapan Terengganu hari ini, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad hanya memberi sedikit petunjuk sahaja mengenai manifesto negeri yang akan dilancarkan kelak. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) Terengganu akan memperkenalkan manifesto dan calon DUN mereka dalam program jelajah PH Terengganu awal April nanti.

Pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata manifesto khusus bertemakan “Demi Terengganu Harapan cakne Rakyat” itu akan memberi tawaran khas buat rakyat Terengganu.

Tawaran itu antara lain menawarkan penyelesaian ke atas isu masalah tumbesaran kanak-kanak di negeri itu seperti yang didedahkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini.

“Manifesto negeri akan dijalankan khusus dengan apa yang menjadi masalah di Terengganu. Kemiskinan yang amat sangat. Malah, kajian Unicef anak muda bawah 5 tahun mengalami masalah tumbesaran terbantut.

“Ini satu tragedi kepada negeri Terengganu dan kita akan ada penyelesaian masalah itu,” katanya dalam sidang media di Gong Kapas, Kuala Terengganu petang tadi.

Laporan Unicef diterbitkan Februari lalu menunjukkan 26% kanak-kanak bawah lima tahun di negeri itu mempunyai masalah tumbesaran dan kekurangan zat, kedua tertinggi selepas Kelantan.

Terengganu merupakan antara negeri paling banyak memperuntukkan bajet dengan RM2.2 bilion untuk 1.1 juta rakyat, lebih tinggi daripada Johor yang mempunyai bajet kira-kira RM1.5 billion untuk populasi 3.3 juta pada 2018.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan penyelesaian khusus dan berkata manifesto itu turut bertunjangkan manifesto PH Buku Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Dalam sidang media sama, Pengarah Jawatankuasa Manifesto PH Terengganu Azan Ismail memberi jaminan bahawa PH akan mengemukakan calon terbaik dan mewakili semua golongan umur, jantina dan pengalaman.

“Saya juga boleh beri jaminan semua calon PKR nanti merupakan orang tempatan,” kata Azan yang menambah tokoh berkenana juga mampu memahami isi hati rakyat Terengganu.

Katanya tawaran PH dalam manifesto itu antara lain menggariskan teras utama menjadikan Terengganu sebagai gedung sumber makanan dan kelestarian alam

Jelasnya, walaupun Terengganu mempunyai industri ikan dan tanah pertanian, rakyatnya sendiri terpaksa mengimport bekalan makanan daripada negeri lain.

“Kita bercadang jadikan Terengganu hab pengeluaran makanan utama pantai Timur dan sebagai gedung terbesar keluarkan sumber makanan. 

“Perbelanjaan makanan Terengganu termahal kerana kita tidak berjaya sebelum ini,” katanya.

Antara empat lagi teras yang digariskan dalam manifesto itu adalah usaha memartabatkan agama dan masyarakat madani dan menyeimbangkan ekonomi, taraf hidup serta perumajan untuk semua.

Selain itu, ia turut menawarkan pengurusan petroleum dan sumber alam yang cekap, serta melibatkan wanita dan anak muda berpendidikan untuk kebolehpasaran.  – 18 Mac, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen