WAKIL rakyat Pakatan Harapan mempersoal sama ada Perikatan Nasional (PN) ada mengemukakan soalan untuk Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) selepas mendakwa mereka tidak pernah diberi peluang untuk bertanya soalan kepada Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Taiping Wong Kah Woh berkata sekiranya pemimpin tertinggi PN ada menghantar soalan, isu itu tidak akan timbul.
“Apabila PN kata pimpinan tertinggi mereka tiada peluang untuk tanya soalan, soalan pertama yang perlu dijawab mereka ialah adakah pimpinan tertinggi PN itu pernah menghantar soalan kepada PM?
“Tiada soalan yang nak dipilih jika tiada soalan yang dikemukakan. Logik mudah,” katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.
Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata meski kepimpinan PN tidak mengemukakan soalan sekalipun mereka masih boleh bertanyakan soalan kepada perdana menteri.
“Proses Parlimen begitu, walau anda tidak hantar soalan atau soalan anda tidak dipilih pun anda masih berpeluang untuk berdiri dan tanya soalan tambahan kedua atau malah ketiga jika dibenarkan speaker.
“Kedua-dua blok akan diberi peluang yang sama rata untuk tanya soalan tambahan,” kata Wong.
Ketidakhadiran Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjadi topik perdebatan kedua-dua belah pihak.
Pada Selasa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata pemimpin tertinggi PN terlepas peluang menyoal Anwar selepas tidak hadir ke Parlimen ketika sesi itu berlangsung.
“Pagi ini Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini, isu vape dan doktor kontrak.
“Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof (kedua-dua timbalan perdana menteri) turut hadir.
“Malangnya, pemimpin pembangkang; Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi Awang sekali lagi tidak hadir dan menimbulkan persoalan,” katanya di Facebook dan Twitter.
Namun Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan MP Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menepis dakwaan Fahmi sambil menyifatkan hanya orang sama mengemukakan soalan bertulis boleh bertanya soalan tambahan. – 7 April, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen