Etika hakim, menteri, dan penyiasat


The Malaysian Insight

Khidmat Hakim Mohamad Nazlan Ghazali sebagai penasihat undang-undang Malayan Banking Berhad dirujuk untuk mengatakan beliau berat sebelah dan melanggar etika, dalam kes membabitkan Najib Razak dan SRC International. – Gambar Mahkamah Persekutuan, 6 April, 2023.

SIAPA yang menentukan hakim di Malaysia melanggar etika? Adakah pelanggaran itu kesalahan jenayah?

Hakikatnya, hanya Jawatankuasa Etika Badan Kehakiman Malaysia yang memutuskan kedudukan hakim, bukan pihak lain.

Kita ulang sekali lagi. Bukan orang lain.

Apa yang ternampak sekarang, ada pihak yang memandai-mandai mengumumkan keputusan dan pendapat mereka mengenai hakim dan etika.

Terutamanya dalam kes Hakim Mohamad Nazlan Ghazali – hakim yang menghumban bekas perdana menteri Najib Razak ke penjara, yang keputusannya disahkan oleh sebahagian besar hakim yang lebih senior daripadanya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Namun, khidmatnya sebagai penasihat undang-undang Malayan Banking Berhad dirujuk untuk mengatakan beliau berat sebelah dan melanggar etika kerana bank itu memberi pinjaman kepada SRC International – syarikat yang duitnya kemudian masuk ke akaun bank peribadi Najib.

Anehnya, hal itu jadi isu sekarang sedangkan sejak hari pertama lagi semua orang tahu Hakim Nazlan pernah bekerja dengan Malayan Banking Berhad. Kecuali nampaknya peguambela Najib.

Pelik, ada lebih kurang 20,000 peguam di Malaysia dan kurang 10 kumpulan bank. Apa yang susahnya untuk menyemak pengalaman kerja seorang hakim dan bekas majikannya kalau mereka dilantik dari sektor swasta?

Adakah kita perlu bersetuju dengan mereka yang bergelut susah payah untuk membebaskan Najib walaupun sudah kalah beberapa kali di mahkamah?

Adakah pandangan orang ramai sekarang ini yang jadi penentu bersalah atau tidaknya Najib dan hal ehwal etika Hakim Nazlan?

Adakah menteri undang-undang Azalina Othman Said tidak tahu tentang jawatankuasa etika apabila beliau menjawab pertanyaan peguam Najib mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Etika keberkepentingan Hakim Nazlan?

Bukankah mahkamah tertinggi negara sudah memutuskan isu ini?

Apa gunanya ada peraturan dan melaungkan ada pengasingan kuasa kalau pihak eksekutif menyondol tanpa ikut tatacara?

Pihak eksekutif – daripada menteri sampailah ke agensi penguatkuasaan – perlu tahu bahawa badan kehakiman hari ini lebih diyakini dan berintegriti berbanding mereka.

Kerja jahat menyelongkar etika dan konflik berkepentingan hakim hanya mengukuhkan lagi rasa tidak percaya rakyat kepada kerajaan dan agensinya.

Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Apatah lagi beliau sendiri terasing hampir 25 tahun di penjara dan terbuang dalam politik kerana tipu daya seperti ini. – 6 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen