Kerajaan setuju nyahklasifikasi laporan nahas pesawat Sabah 1976


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pendedahan itu selari dengan dasar ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan.– Gambar Facebook, 5 April, 2023.

PUTRAJAYA bersetuju menyahklasifikasi laporan akhir penyiasatan persekutuan mengenai nahas pesawat 6 Jun 1976 yang mengorbankan 11 orang termasuk ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens, kata Anwar Ibrahim hari ini.

Perdana menteri berkata ini dilakukan selaras dengan amalan Kerajaan Perpaduan yang telus.

“Hari ini, Kabinet mengambil kira representasi yang dikemukakan oleh rakyat Sabah selama ini dan tuntutan yang dibuat oleh keluarga mangsa, yang mahukan maklumat terperinci (mengenai siasatan).

“Ini selari dengan dasar ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Oleh itu, kami memutuskan bahawa laporan akhir penyiasatan pesawat Sabah Air (Double Six) terhempas pada 6 Jun 1976 akan dinyahklasifikasikan,” kata Anwar hari ini semasa sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Anwar berkata, penemuan sebegini tidak seharusnya dijauhkan daripada rakyat terutama mereka yang terjejas.

“Melihat kepada kebimbangan itu, kami merasakan bahawa kami berhutang kepada rakyat, umumnya rakyat, lebih-lebih lagi kepada rakyat Sabah dan keluarga terbabit.

“Saya tidak percaya penemuan seperti ini, yang menjejaskan keluarga terbabit dan negeri, harus disimpan di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Anwar berkata kenyataan rasmi mengenai perkara itu akan dikeluarkan dalam masa beberapa hari dan laporan penuh akan diumumkan minggu depan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan kerajaan Malaysia menyahklasifikasi laporan siasatan persekutuan mengenai nahas pesawat 6 Jun 1976, yang juga dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.

Hakim Mahkamah Tinggi Christopher Chin Soo Yin mengeluarkan perintah mandamus mengarahkan Putrajaya mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyahklasifikasi atau mendedahkan kepada umum laporan siasatan pihak berkuasa Malaysia terhadap Tragedi Double Six, melibatkan Pesawat Nomad 9M-ATZ dengan 11 orang di atas kapal.

Hakim juga memberi tempoh tiga bulan kepada kerajaan Malaysia atau sehingga 8 Jun untuk mematuhinya.

Hakim itu juga berkata jika pendedahan awam mengenai laporan siasatan itu memerlukan sebarang tindakan berkaitan oleh kerajaan Australia, kerajaan Malaysia mesti segera memastikan Canberra bertindak sewajarnya bagi membolehkan penyahklasifikasian dilakukan dengan segera. – 5 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen