SEORANG pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan rasuah RM500,000 bagi mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Pengarah Urusan Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussain.
Abdul Hamid didakwa menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa melalui Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan bagi mempercepatkan proses pengambilalihan Menara KL.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Isu mengenai Telekom Malaysia menjual 10 juta sahamnya dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuhnya yang menguruskan menara ikonik Kuala Lumpur itu, hangat di media sosial pada Disember lalu.
Telekom didakwa melepaskan pegangannya ke atas anak syarikatnya itu kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd didakwa menjana pendapatan RM66 juta sebelum pandemik Covid-19, di mana RM25 juta diumumkan sebagai keuntungan bersihnya.
Susulan pendedahan tersebut, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan pada Disember lalu berkata Putrajaya memandang serius perkara itu dan akan menerima taklimat komprehensif mengenai penjualan Menara KL daripada Telekom pada awal Januari 2023. – 5 April 2023.
Komen