Aktivis hak asasi manusia mahu dasar lebih progresif bagi pelarian


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membenarkan pelarian dan pencari suaka di Malaysia bekerja sementara dalam sektor perladangan sebagai satu cara untuk mengatasi isu kekurangan tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2023.

WALAUPUN Putrajaya mengumumkan kemungkinan membenarkan pelarian dan pencari suaka di Malaysia bekerja sementara di sektor perladangan sebagai satu cara untuk mengatasi isu kekurangan tenaga kerja, aktivis hak asasi manusia masih menuntut dasar lebih progresif bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan dua kumpulan ini.

Aktivis berkata sudah tiba masanya Putrajaya mula melibatkan diri dengan pihak berkepentingan untuk membincangkan dasar yang akan melindungi mereka.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang juga menteri perladangan dan komoditi memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang meneliti dan mengkaji kemungkinan membenarkan pelarian dan pencari suaka di Malaysia bekerja sementara dalam sektor perladangan sebagai satu cara untuk mengatasi isu kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia yang mempunyai hubungan agak dingin dengan dua kerajaan sebelum ini dalam isu pelarian berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk golongan ini.

Mereka melahirkan kebimbangan kerajaan perpaduan akan mengikut langkah pentadbiran terdahulu apabila menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainuddin memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Malaysia apabila menghantar pulang warga Myanmar ke negara asal mereka.

Beliau juga berkata pelarian Rohingya tidak mempunyai status, hak atau asas untuk menyatakan tuntutan kepada kerajaan Malaysia, sambil menambah mana-mana organisasi yang mendakwa mewakili Rohingya di sini adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan.

Menurut UNHCR, sehingga akhir Januari 2023, terdapat kira-kira 183,790 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia. 

Kira-kira 158,870 adalah dari Myanmar, terdiri daripada kira-kira 106,500 Rohingya, 23,450 Chins, dan 28,920 kumpulan etnik lain dari kawasan yang dilanda konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.

Baki lain iaitu kira-kira 24,920 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan, termasuk kira-kira 6,940 warga Pakistan, 3,370 warga Afghanistan, 3,360 warga Yaman, 3,020 warga Somalia, 2,810 warga Syria, 1,500 warga Iraq, 750 warga Sri Lanka dan lain-lain. – 5 April, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen