MOGOK Doktor Malaysia, gerakan yang mengugut mengadakan mogok tiga hari di hospital awal seluruh negara, kini menutup akaun Instagram pada hari kedua protes itu.
Akaun itu, yang mempunyai 15,000 pengikut, adalah satu-satunya akaun media sosial yang digunakan kumpulan berkenaan untuk berkongsi maklumat berkenaan nasib doktor kontrak, selain informasi tentang mogok.
Dilaporkan kira-kira 3,000 doktor kontrak turut serta dalam mogok itu, berbanding sasaran awal mereka 8,000 doktor. Namun, tiada maklumat lanjut didedahkan.
Mereka turut mendakwa kira-kira 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Kumpulan itu turut memilih untuk berkongsi maklumat berkaitan mogok dengan media tertentu.
Bagaimanapun, protes itu diadakan pada hari sama di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memerlukan tiga tahun untuk menyelesaikan isu doktor kontrak.
Minggu lalu, kumpulan itu menggesa staf kontrak bersolidariti dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit dari Isnin hingga Rabu, sebagai protes terhadap sistem dan gaji rendah.
Mereka memberi amaran orang awam akan terpaksa menunggu lama di klinik kesihatan awam dan hospital awam pada tiga hari ini.
Kumpulan itu menuntut semua pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; kenaikan gaji pokok; kadar atas panggilan yang lebih tinggi; penyelesaian kepada kekurangan pakar, pegawai perubatan dan pegawai rumah; dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.
Bagaimanapun, beberapa doktor kontrak yang dihubungi berkata mereka tidak menyertai mogok itu.
Antara sebabnya ialah mereka mendakwa gerakan Mogok Doktor Malaysia tidak mempunyai perancangan dan komunikasi yang sempurna.
Mereka berkata mogok itu tidak seperti dianjurkan Hartal Doktor Kontrak dua tahun lalu. – 4 April, 2023.
Komen