PUTRAJAYA mencadangkan moratorium terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjatuhkan hukuman terhadap individu yang cuba membunuh diri, hingga semua pindaan berkaitan rang undang-undnag itu diluluskan dan diwartakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata pelaksanaan moratorium itu bagi memudahkan perkara berkaitan penguatkuasaan dan pendakwaan.
“Pemansuhan kesalahan cubaan membunuh diri itu adalah usaha kerajaan madani untuk mencegah kes bunuh diri,” katanya yang juga ahli Parlimen Pengerang dalam satu kenyataan hari ini.
“Ia diharapkan dapat menggalakkan individu yang terjejas supaya tampil minta bantuan, dan menghapuskan stigma terhadap bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar bunuh diri di Malaysia.”
Seksyen 309 Kanun Keseksaan menyatakan individu yang cuba membunuh dirinya berdepan hukuman penjara hingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Antara RUU berkaitan pemansuhan kesalahan itu ialah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, RUU Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.
Kenyataan Azalina itu dibuat bagi menjelaskan berkenaan pindaan terhadap RUU itu yang akan menjadikan bunuh diri bukan perbuatan jenayah, dan ia dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bagi bacaan pertama. – 4 April, 2023.
Komen