Hentikan kegiatan lombong sumber mineral di Hutan Simpan Bukit Enggang


SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya memastikan kerajaan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang), Daerah Sik, Kedah.

Walaupun Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan itu memperuntukkan hal ehwal hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan persekutuan boleh memberi nasihat agar segala dasar, ketetapan dan komitmen berkaitan hal ehwal hutan yang diputuskan di peringkat persekutuan diguna pakai di peringkat negeri.

SAM dukacita dan mempersoal kenyataan pihak Kementerian yang disiarkan dalam akhbar tempatan bertarikh 22 Mac 2023 yang kerajaan Kedah tidak melakukan kesalahan serta berhak memberi kelulusan carigali dan penjelajahan sumber mineral NR-REE di HS Bukit Enggang, Daerah Sik, Kedah.

Mengikut Seksyen 2, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan seksyen yang sama Akta Perhutanan 1984 (Akta 313) serta ketetapan yang diputuskan dalam Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lanthanum di Dalam Hutan Simpanan Kekal Terhadap Dirian Hutan Bil 1/2020 pada 2 - 3 September 2020 ternyata sumber mineral REE tidak termasuk dalam tafsiran hasil hutan.     

Oleh itu, adalah jelas sekiranya kerajaan negeri berhasrat meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral REE di HS Bukit Enggang, ianya menjadi suatu kesalahan di samping tidak selari dengan kenyataan menteri bertarikh 22 Mac 2023 berhubung salah satu komitmen Malaysia menguruskan hutan secara mampan iaitu tidak mengeluarkan ‘Operational Mining Scheme’ (OMS) bagi tujuan kegiatan perlombongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

SAM juga mengulangi gesaan yang diputuskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014 supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

Kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

SAM berharap menteri dan kementerian akan menasihati kerajaan negeri supaya tidak meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral NR-REE di HS Bukit Enggang, Daerah Sik, Kedah. – 4 April, 2023.

* Meenakshi Raman, presiden SAM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen