
KERAJAAN tidak mampu untuk menyerap semua doktor kontrak ke jawatan tetap sekali gus dalam tempoh setahun, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Isu berlarutan itu dijangka hanya dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun selepas mengambil kira kesan terhadap kewangan negara, katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Sebab itu saya merayu, sementara tuntutan itu munasabah bahawa mereka berkhidmat sekian lama tetapi perkara ini tertangguh sekian lama.
“Jadi untuk tahun ini kita selesaikan semua, kita tidak mampu. Jadi apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk menambah RM1.7 bilion daripada penambahan RM3 bilion emolumen untuk 2023.
“Jadi kita jangkakan, kalau ini dapat dilakukan dalam tempoh tiga tahun, maknanya kita dapat menyerap 12,8000 orang doktor kontrak yang ada sekarang dalam tempoh tiga tahun,” kata ahli Parlimen Tambun itu pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Buat permulaan, kerajaan telah menyerap hampir 4,300 pegawai kontrak sebagai lantikan tetap tahun ini, tambah Anwar.
Beliau menjawab soalan diajukan Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semuanya diserap ke jawatan tetap.
Anwar yang juga menteri kewangan selain itu menegaskan kerajaan tidak pernah berniat meremehkan isu doktor kontrak.
“Tidak ada sama sekali niat untuk meremehkan kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga, selain negara memang memerlukan (mereka),” katanya. – 4 April 2023.
Komen