HARTAL Doktor Kontrak (HDK) sekali menegaskan ia tidak terlibat dengan sekumpulan doktor kontrak yang menganjurkan mogok tiga hari bermula hari ini.
Sekretariatnya berkata mereka tidak terlibat dan tiada kena mengena dengan protes “Mogok Doktor Kontrak”.
“Kami menjelaskan pendirian ini kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, polis dan media.
“Walaupun tidak terbabit, kami percaya mereka ada hak untuk membantah dan menyerahkan keadaan bantahan kepada mereka,” kata HDK dalam satu kenyataan.
Semalam, Mogok Doktor Kontrak berkata protes itu bagi membantah gaji dan faedah walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan melihat rungutan mereka.
Seorang wakil penganjur protes dilaporkan memberitahu Astro Awani hilang kepercayaan kepada kementerian dalam menangani masalah mereka.
“Kami kecewa dan hilang kepercayaan kepada KKM,” kata wakil yang hanya dikenali sebagai Dr Jamal itu kepada Astro Awani.
“Masalah itu tidak akan selesai selagi 83% doktor kontrak tidak diberi jawatan tetap,” katanya.
Jamal juga mendakwa antara 10,000 hingga 13,000 petugas penjagaan kesihatan di seluruh negara dijangka menyertai mogok itu.
HDK juga sedang meneliti cadangan Zaliha baru-baru ini mengenai jawatankuasa peringkat tinggi baharu untuk membincangkan dan menangani isu ini.
“Kami percaya ia adalah salah satu langkah yang betul untuk diambil, memandangkan ia melibatkan beberapa pegawai kementerian untuk mempercepatkan perbincangan dan analisis.
“Bagaimanapun, kami ingin menggesa Dr Zaliha memasukkan HDK sebagai ahli jawatankuasa untuk mewakili doktor.”
Sekretariat itu berkata tanpa perwakilan mereka, jawatankuasa itu tidak akan memberi kesan bagi menyelesaikan isu dan akan berakhir sama seperti jawatankuasa lain yang meneliti isu mereka.
Pada Sabtu, Zaliha berkata KKM bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi khas untuk meneliti isu doktor kontrak.
Beliau berkata isu itu diwarisi daripada kerajaan terdahulu, dan menjadi masalah sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2016.
“Kabinet akhirnya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan ketua setiausaha negara untuk topik hangat ini.”
Zaliha berkata mogok bukanlah penyelesaian terbaik untuk sebarang masalah.
Selain jawatankuasa, sekretariat itu berkata langkah seterusnya ialah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan kebangsaan yang akan menyelia, memutuskan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan negara.
“Kami akan bekerjasama dengan Dr Zaliha dan kementerian lain untuk mempercepatkan perkara ini.” – 3 April, 2023.
Komen