KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersolidariti dengan isu doktor kontrak namun tidak bersetuju dengan langkah kumpulan itu yang mahu melancarkan mogok di seluruh negara sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.
Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata tindakan mogok itu boleh menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kerajaan kepada rakyat.
Adnan berkata kumpulan itu sendiri tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengambil tindakan perusahaan seperti mogok kerana mereka tidak berkesatuan pada masa sama boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan perkhidmatan awam.
“Maka dengan itu mendedahkan mereka ini (untuk) berada dalam tindakan dan peraturan dalam perkhidmatan serta akhirnya boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka yang sudah pun ada dalam sistem perkhidmatan walaupun sebagai pekerja kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Ipoh, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah serta Presiden AUEGCAS Asman Mohd Nawawi.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menyelesaikan isu itu berkata kerajaan akan memastikan situasi menang menang dicapai supaya tiada pihak berasa rugi atau tersingkir. – Bernama, 3 April, 2023.
Komen