Mudah berurusan bila politik stabil, kata Anwar


Noel Achariam

Sejumlah 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia sempena lawatan Anwar Ibrahim ke republik itu selama tiga hari. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 3 April, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya sudah menunjukkan keyakinan baharu kepada pelabur dan keadaan politik yang stabil hari ini memudahkannya lagi untuk berurusan.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata apabila kerajaan ada keputusan yang jelas dan kaedah baharu yang lebih berkesan serta bersih ia memberi keyakinan kepada pelabur.

“Ia memberi keyakinan baharu apabila politik itu stabil. Ia memberi keyakinan baharu apabila ‘ease of doing bussines’ itu jelas, ia menambah keyakinan pelabur bila kita berikan ketetapan jelas iaitu harus ada kaedah baharu yang lebih cekap dan lebih bersih.

“Kita tak boleh nafikan masih ada…kadang-kadang saya dengar orang minta komisyen daripada pejabat saya, pejabat menteri, pejabat pegawai-pegawai. Ini kerana budaya lama itu nak dibersihkan mengambil masa jadi saya minta kerjasama saudara-saudara kerana jika imej itu baik, ia mudah sekali,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajay,a hari ini.

Perjumpaan dengan warga JPM itu diadakan sejurus kepulangannya dari lawatan rasmi ke China di mana Malaysia meraih komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion.

Jumlah itu, yang terbesar setakat ini dari China, adalah daripada sejumlah 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia.

Beliau menyeru kakitangan kerajaan mengekalkan kepesatan dari segi tadbir urus dan tatakelola kerana beliau percaya imej yang baik itu bakal memberikan masa depan negara lebih cerah.

“Saya merasakan ada lonjakan baharu tentang imej Malaysia dan harapan Malaysia kerana ada beberapa syariakt terkemuka yang memutuskan untuk menjadikan Malaysia ini hab serantau selain dari China.

“Saya usulkan mesti ambil orang tempatan yang punyai kelayakan. Kalau dikenal pasti tidak mempunyai tenaga yang cukup itu kita akan luluskan dengan syarat dibuktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan,” katanya.

Beliau turut memberitahu sudah berbincang agar pelabur mewujudkan program latihan khusus untuk rakyat tempatan sekiranya tiada kelayakan yang diperlukan dalam bidang-bidang tersebut sebelum peluang pekerjaan itu dibuka kepada golongan profesional dari China.

“Jika tiada kelayakan mereka wujudkan program untuk melatih sebab pelaburan ini bukan berbilion tapi puluhan bilion. Ada (pelaburan) minyak dan gas, Proton-Geely itu juga puluhan bilion.

“Alhamdulillah apabila kita tegas soal ini, mereka sambut baik,” katanya. – 3 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen