Siapa untung kalau tetap tarikh pilihan raya awal?


G Manimaran

Enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya sudah pun menetapkan satu tarikh awal – selepas bulan Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2023.

LIMA bulan sudah berlalu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diwarnai dengan pelbagai keunikan dan kelainan dalam sejarah pilihan raya negara. Parlimen dibubarkan pada bulan Oktober manakala pengundian berlangsung sebulan kemudian.

Pun begitu kita masih bercakap mengenai pilihan raya. Sama ada pilihan raya umum negeri bagi enam negeri mahupun PRU16. Dan, sudah pasti cakap-cakap mengenai percubaan untuk menumbangkan kerajaan.

Nampaknya demam pilihan raya berlarutan. Seolah-olah kita sudah bersedia untuk PRU16.

Sepanjang tahun lalu perkara paling mengejutkan di sebalik siri spekulasi, andaian dan teka-teki ialah tarikh pembubaran Parlimen oleh perdana menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pembubaran diumumkan tiga hari selepas Belanjawan 2023 dengan jumlah peruntukan terbesar dalam sejarah negara dibentangkan di Dewan Rakyat. Belanjawan itu tidak dibahaskan dan tidak menjadi kerana pembubaran.

Ada pihak melihat dan menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang merugikan.

Rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku dan punca-punca yang membawa kepada keputusan untuk membubarkan Parlimen. Pelbagai teori konspirasi dibahaskan di  platform politik. Semuanya menarik. Keadaan sedemikian turut mencetuskan polemik mengenai percaturan politik.

Di sebalik pembubaran yang dibuat pada 10 Oktober 2022, negara juga tidak pernah menyaksikan satu pengalaman Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media.

Antara lain kenyataan media itu mengatakan Yang di-Pertuan Agong kecewa susulan suasana politik semasa dan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan perdana menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Malah baginda bertitah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat dan ia akhirnya berlangsung pada 19 November.

Semua yang berlaku dan terjadi adalah garisan penting dalam lipatan sejarah pilihan raya demokrasi di Malaysia.

Banyak perkara yang kita dapat dan boleh belajari daripada detik-detik bersejarah itu.

Dalam laporan mengenai PRU15 yang dikeluarkan minggu lalu, badan pemantau pilihan raya BERSIH 2.0 menggariskan beberapa perkara menarik yang boleh dijadikan pedoman. Yang dimaksudkan tadi sebagai sejarah. Antara yang menarik perhatian ialah syor mengenai pengenalan satu undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya.

Menurut BERSIH 2.0, pengumuman PRU15 secara mengejut menunjukkan wujud keperluan mendesak kepada kerajaan Persekutuan untuk menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen supaya Parlimen tidak dibubarkan hanya berdasarkan inisiatif perdana menteri. Undang-undang itu juga merupakan janji dalam manifesto Pakatan Harapan semasa PRU15.

Pelaksanaan akta ini, pada pandangan BERSIH 2.0 akan mengelakkan pembubaran Parlimen di pertengahan penggal dan dalam ketika wujud keperluan pembubaran, perdana menteri perlu mendapatkan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat sebelum beliau memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan parlimen.

Kerajaan melalui akta ini juga dapat menetapkan tarikh pilihan raya yang akan datang lebih awal seperti amalan negara-negara maju malah amalan yang sama diamalkan oleh negara jiran kita, Indonesia.

“Perkara ini akan membantu persediaan mereka yang terlibat dalam pilihan raya secara langsung atau tidak langsung terutamanya SPR,” kata laporan BERSIH 2.0.

Banyak lagi negara yang mengambil pendekatan menetapkan satu tarikh khusus bagi tujuan pembubaran dan mengadakan pilihan raya. Selain Amerika Syarikat (AS), beberapa negara yang pernah dijajah oleh British juga mengamalkan kaedah tarikh khusus yang tetap.

Sekurang-kurangnya notis mengenai pembubaran diberikan lebih awal demi manfaat, keselesaan dan keadilan bagi setiap pemegang taruh pilihan raya.

Tiga tahun lalu, Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang mengemukakan laporan dengan 49 syor kepada kerajaan ada menggariskan sudah sampai masanya negara mengamalkan sistem yang membolehkan notis pembubaran dewan perundangan di kedua-dua peringkat pusat dan negeri, diumumkan enam bulan lebih awal.

Bermakna notis pembubaran dikeluarkan enam bulan lebih awal bukannya dalam persekitaran mengejutkan pada masa sekarang.

Secara konvensional perdana menteri atau presiden mewakili kerajaan memerintah akan mengumumkan tarikh pilihan raya umum yang akan datang lebih awal. Di New Zealand, misalnya untuk Pilihan Raya Umum 2020 yang mana mandat kerajaan semasa sepatutnya berakhir pertengahan Oktober 2020, perdana menterinya mengumumkan cadangan tarikh pembubaran pada Januari 2020 iaitu lapan bulan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan secara rasmi oleh Gabenor Jeneral New Zealand berdasarkan undang-undang yang termaktub.

Justeru itu, peraturan secara bertulis akan memberi ruang yang sama rata kepada semua pihak termasuk badan pengurusan pilihan raya untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya.

Pembubaran Parlimen New Zealand juga boleh berlaku dengan lebih awal jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Dewan Rakyat iaitu perdana menteri boleh memohon kepada gabenor jeneral untuk membubarkan Parlimen.

Selain daripada itu, gabenor jeneral mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh mesyuarat pertama Parlimen dengan syarat usul tidak percaya terhadap kerajaan diluluskan oleh Parlimen dan tiada kerajaan alternatif dapat dibentuk dalam tempoh 14 hari ataupun apabila Parlimen meluluskan usul untuk mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Cadangan ke arah itu dikemukakan oleh banyak pihak sebelum dan selepas PRU15. Kira-kira dua minggu sebelum pembubaran Parlimen tahun lalu, Gabungan Persatuan Belia Dalam Negeri Sabah (Gabungan) mengutarakan Malaysia harus mempertimbangkan untuk menetapkan tarikh tetap untuk pilihan raya umum selepas setiap penggal lima tahun Parlimen berakhir bagi mengelak gangguan ke atas program kerajaan.

Dalam pendirian itu, gabungan menjelaskan pelaksanaan satu sistem yang tetap selama lima tahun bagi Parlimen dan juga DUN akan memastikan pilihan raya mengejut dan tidak berjadual tidak akan menjejaskan rancangan pembangunan negara.

Malah penetapan tarikh pilihan raya secara automatik selepas tamat mandat lima tahun juga akan mengurangkan risiko ‘politiking’ pihak-pihak tertentu.

Sistem satu tarikh yang tetap bukan sahaja akan menguntungkan parti-parti politik malah badan pengurusan pilihan raya dan kesemua agensi yang terlibat sama. Sudah tentu ia akan membolehkan para pengundi sebagai pemegang taruh penting dalam mengatur pergerakan mereka.

Dalam konteks yang lebih luas undang-undang ini akan membolehkan negara mencapai satu lagi prinsip yang akan melengkapkan semangat dan ciri pilihan raya demokrasi. Pada masa yang sama protokol semasa mendapatkan perkenan daripada ketua negara dan ketua negeri boleh dan harus dikekalkan.

Kita sudah ada contoh untuk diteladani. Enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya umum sudah pun menetapkan satu tarikh awal – selepas bulan Jun ini. Keputusan itu boleh dijadikan amalan kekal dalam menguruskan pilihan raya umum pada masa-masa akan datang. – 3 April, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen