BARISAN exco kerajaan negeri Melaka yang baharu akan membabitkan rakan parti politik kerajaan perpaduan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata senarai exco negeri itu sudah dikemukakan kepadanya oleh Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh hari ini.
“Saya ingin mengesahkan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat akan diperkirakan untuk digariskan dalam barisan exco yang ada.
“Pada hemat saya, ini merupakan optik (perspektif) yang baharu bukan sahaja kita menyokong kerajaan perpaduan di peringkat pusat tetapi juga di negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di Kuala Lumpur hari ini.
Zahid berkata, meskipun Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri lalu tetapi atas semangat kerajaan perpaduan, parti itu berhasrat berkongsi barisan exco negeri bersama parti politik dalam kerajaan.
Beliau yakin Ab Rauf akan mempersembahkan nama barisan exco yang menyaksikan beberapa perubahan dari segi portfolio dan nama kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan negeri Melaka juga berkemungkinan mewujudkan jawatan timbalan exco bagi beberapa portfolio tertentu.
Beliau turut berharap Ab Rauf dapat diberikan peluang untuk melakukan yang terbaik dan memberikan kesinambungan kepada pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Ditanya sama ada bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini dilapor mendakwa pertukaran Ketua Menteri Melaka yang baharu sebagai “tebuk atap” akan digugurkan, Zahid berkata beliau menyerahkannya kepada kebijaksanaan Ab Rauf. – Bernama, 2 April, 2023.
Komen