3 lelaki dipercayai merusuh ditahan polis


POLIS Pulau Pinang menahan tiga lelaki yang melakukan rusuhan selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC dengan Perak FC di luar Stadium Bandaraya di Georgetown pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata semua lelaki tempatan yang ditahan berumur antara 20 hingga 23 tahun dan mereka semua bebas sebarang jenis dadah selepas ujian saringan awal dibuat.

Menurutnya, hasil siasatan, polis mendapati kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam dan seorang yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai soal siasat, namun polis sedang giat mengesan individu lain yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Semalam, satu video berdurasi 31 saat tular dalam media sosial Facebook “Amigos Media Viral” yang memaparkan sekumpulan penyokong bola sepak merusuh di luar kawasan stadium. – Bernama, 2 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen