Exco Melaka perlu gambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan, kata Zahid


Kata Zahid kestabilan politik di Melaka akan membantu kemenangan Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2023.

BARISAN Exco Kerajaan Negeri Melaka yang akan dilantik perlu menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri yang juga presiden Umno itu berkata perbincangan akan diadakan dengan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Saya berhasrat agar barisan Exco mengandungi komposisi Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun di Melaka BN dan Umno menguasai kerajaan negeri, alangkah baiknya Exco Kerajaan Negeri Melaka menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang dipilih oleh rakyat dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita pada majlis Tadarus Al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1444H Peringkat Parlimen Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata kestabilan politik di Melaka itu akan membantu kemenangan Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang di enam negeri.

Semalam, Rauf yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 berkata beliau akan mengumumkan barisan Exco yang baharu dalam tempoh 48 jam.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merasmikan program Gerak Rahmah 2023: Jom Masak Bubur Lambuk Peringkat Negeri Perak di Taman Perumahan Awam Hutan Melintang.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu dijalankan serentak di seluruh negara hari ini.

Di Perak hampir 300 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyertai program itu dengan 14 daripadanya KRT di Parlimen Bagan Datuk. – Bernama, 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen