Polis hantar kertas siasatan kes berbaur kaum konsert AR Rahman ke pendakwa raya


Ravin Palanisamy

Polis mencadangkan pemilik akaun 'fatinamyralee' didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.– Gambar Instagram, 1 April, 2023.

POLIS sudah menyiapkan siasatan ke atas seorang pempengaruh Instagram, ‘fatinamyralee’, yang didakwa mengeluarkan kejian perkauman menerusi akaun media sosialnya pada konsert di Stadium Bukit Jalil pada Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin memberitahu The Malaysian Insight yang laporan siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan.

“Kertas siasatan lengkap telah diminit oleh Pihak D5 IPK KL dengan cadangan tuduh suspek di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan tersebut dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Mac,” katanya kepada TMI. 

Polis membuka kertas siasatan ke atas ‘fatinamyralee’ selepas dia memuatnaik sebuah video pendek di akaun Instagramnya.

Dalam video yang diedarkan kepada hampir 120,000 pengikutnya, dia menggunakan perkataan “Keling”.

“Pening dengar lagu keling. Nak lagu Hindustan, please.

“Waiting for Tokti (Siti Nurhaliza) ni,” tulisnya, video itu kemudiannya tular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selepas menerima kecaman warga net, pempengaruh itu menghadkan tetapan akaunnya daripada orang awam.

Pertuduhan yang dicadangkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah berkaitan penggunaan tidak wajar fasiliti atau perkhidmatan rangkaian telekomunikasi, sementara Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah kerana menghina dengan niat mengganggu ketenteraman awam.

Pempengaruh itu membuat kenyataan tersebut pada konsert pemuzik ternama India, AR Rahman di Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu.

Konsert itu turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. – 1 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen