YB Sany, hentikan retorik murahan


DALAM satu sidang media baru-baru ini, ahli Parlimen Hulu Langat YB Mohd Sany Hamzan bersama rakan-rakan ahli Parlimen Bangi, Sg Petani, Jelutong, Klang dan Batu Pahat, dengan tegas menyatakan kerajaan Madani menyanjung tinggi perlembagaan persekutuan khususnya tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan beliau mengulang sebanyak tiga kali penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dengan suara lantang yang berdegar-degar. Namun malang isinya, tiada.

Baru-baru ini Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menyuarakan persoalan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah bertindak menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Namun, hingga kini belum ada apa-apa maklum balas daripada kerajaan berkaitan isu ini, termasuk daripada kalangan wakil rakyat kerajaan Madani seperti YB Sany dan rakan-rakannya. Kerana, jika kita menyedari bahawa isu berkaitan penamatan bantuan penajaan pendidikan ini, ia lebih penting daripada isu yang digaduhkan oleh YB Sany dan rakan-rakannya berkenaan kenyataan ahli Parlimen Pendang dan Besut.

Adakah beliau sedar bantuan pendidikan adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan iaitu Perkara 153 (2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan;

“(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan,………”

Apabila kerajaan menghentikan penajaan ini, ia bukan sahaja memberi kesan kepada isu kekurangan tenaga pakar dalam bidang perubatan yang sangat kritikal ketika ini, tetapi ia sebenarnya memberi kesan secara langsung kepada pelajar Melayu dan Bumiputera yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.

Kita sedia maklum orang Melayu dan Bumiputera tidak akan mampu mengeluarkan belanja sendiri untuk belajar dalam bidang perubatan, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang cukup teruk ketika ini. Keadaan ini amat berbeza dengan kaum lain yang mana kebanyakan daripada mereka mampu mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa bantuan kerajaan.

Persoalannya, perkara ini terjadi di bawah pentadbiran kerajaan Madani. Mengapa YB Sany dan rakan-rakannya yang begitu tegas mahu menegakkan perlembagaan, tidak memperjuangkan isu ini dan menjelaskannya kepada rakyat? Bukankah perkara ini juga sebahagian daripada apa yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan?

Saya ingin menasihati YB Sany dan kerajaan agar segera menjelaskan dan seterusnya menimbang semula keputusan menghentikan penajaan kepada pelajar bidang perubatan kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan keperluan sektor yang kritikal, tetapi ia adalah hak orang Melayu dan Bumiputera yang sudah termaktub di dalam perlembagaan. Kepada YB Sany, ini bukan perkara kecil, hentikan retorik murahan anda. – 1 April, 2023.

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen