Ab Rauf Yusof angkat sumpah jawatan ketua menteri Melaka


Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah jawatan ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam di Seri Negeri pada pukul 3.33 petang tadi. – Gambar Facebook, 31 Mac 2023.

ADUN Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka yang ke-13.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam di Seri Negeri pada pukul 3.33 petang secara tertutup.

Hadir sama, bekas ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali, barisan Adun dan ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan.

Majlis angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Sulaiman yang dilantik kali kedua sebagai ketua menteri Melaka pada 21 November 2021 melepaskan jawatannya.

Adun Lendu itu sebelum dilantik sebagai ketua menteri buat kali pertama pada 9 Mac 2020.

Ab Rauf, 62, merupakan pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka sejak 2018 serta ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan November 2021, Ab Rauf yang pertama kali bertanding menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selepas memperoleh 3,559 undi dalam saingan tiga penjuru.

Anak jati kelahiran Masjid Tanah itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 3,195 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan (489 undi).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai exco kanan pelaburan, perindustrian, pembangunan usahawan dan koperasi negeri di bawah pentadbiran Sulaiman.

PRN Melaka itu diadakan berikutan empat Adun kerajaan negeri diketuai bekas ketua menteri Idris Haron sebelum itu menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) menang besar selepas memperoleh 21 kerusi berbanding PH (PH) lima kerusi dan PN dua kerusi.

Ab Rauf sebelum itu dilantik sebagai speaker DUN Melaka pada 11 Mei 2020 ketika pertukaran kerajaan pada Mac 2020.

Sementara itu, pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian pada 18 Mac lepas, Ab Rauf menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua Umno Bahagian Masjid Tanah dan dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 22 Mac lepas.

Ab Rauf mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebelum menyambung pendidikan di Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. 

Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama dengan Zuriyah Aziz. – Bernama, 31 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen