
“THE POST”, filem terbaru arahan Steven Spielberg, hadir sangat tepat waktu ketika dunia rusuh dan buntu berhadapan dengan tipu daya sehingga yang batil diyakini sebagai betul.
Tetapi The Post – sebuah cerita di bilik berita akhbar ternama The Washington Post pada Jun 1971 – lebih daripada hanya sebuah filem tentang kewartawanan; ia juga sebuah filem yang menonjolkan citra ideal wanita dalam dunia lelaki.
Filem ini mengangkat suatu episod penting dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) yang berlaku dalam tempoh lebih kurang dua minggu, ketika tembelang tentang perang yang sedang memuncak di Vietnam mula terhidu.
Walaupun cerita yang diangkat ini berlaku empat dekad lalu, semangatnya terasa sangat dekat dengan apa yang sedang berlaku hari ini.
Tetapi fokus asal The Post bukanlah tentang dunia kewartawanan.
Ia asalnya mahu dibikin sebagai sebuah filem yang merayakan lahirnya seorang pemimpin wanita dalam dunia politik yang dikuasai oleh lelaki. Tetapi Hillary Clinton kalah pilihan raya; Donald Trump yang kemudiannya menang dan jadi presiden AS.
Apabila Trump mengisytiharkan perang dengan media, mengecap semua media yang menerbitkan laporan negatif tentang pentadbirannya atau tentang dirinya sebagai “media palsu” – fake news, filem ini hadir dengan membawa sisi semangat zaman yang lain.
Ini bukan sebuah filem yang semata-mata dibikin untuk masyarakat Amerika.
Ia sebuah filem sejagat yang mewakili permasalahan zaman ini – di belahan dunia mana pun – ketika kebenaran dipertikaikan dengan apa yang kononnya “fakta alternatif”, ketika tanggungjawab media kepada masyarakat diperlecehkan dan ketika untung rugi penerbitan media tidak diyakini boleh diukur dengan kredibiliti.

The Post mengisahkan dilema Katherine Graham (lakonan Meryl Streep) untuk membuat keputusan menerbitkan atau tidak maklumat sulit yang diperolehi oleh bilik beritanya tentang penglibatan Amerika dalam Perang Vietnam, dokumen yang kemudiannya dikenali sebagai Pentagon Papers.
Inti dokumen rahsia yang melibatkan empat orang presiden itu ialah pemimpin tertinggi di White House dan Pentagon tahu sejak 1965 lagi yang Amerika tidak akan menang di Vietnam tetapi mereka terus mengerah rakyat ke medan perang untuk mengelak malu kalah perang.
Beberapa hari sebelumnya, Graham baru saja menyenaraikan syarikat akhbar itu di Bursa Saham New York untuk menambah modal perniagaan.
Beberapa hari sebelumnya juga The New York Times sudah lebih dahulu mengalahkan The Washington Post apabila menerbitkan sebahagian daripada kandungan dokumen sulit itu.
Tetapi pentadbiran Richard Nixon, atas nama keselamatan negara, mendapatkan perintah mahkamah menyekat akhbar itu daripada terus mendedahkan dokumen berkenaan.
Pengarang The Washington Post, Ben Bradlee (lakonan Tom Hanks), yang awalnya jengkel dengan kejayaan The Times mendahului akhbarnya dengan berita besar muka depan, melihat perintah mahkamah itu sebagai peluang yang mesti disambar.
Tetapi keputusan akhirnya, sama ada berita menggemparkan tentang salah tadbir kerajaan itu disiarkan atau tidak, bergantung pada Graham sebagai penerbit.
Relevan
Filem ini berdiri di atas dua premis: hubungan antara kuasa media dan kuasa kerajaan, dan kedudukan wanita dalam dunia pekerjaan yang umumnya dikuasai oleh lelaki. Dua-dua isu ini sangat relevan, malah sangat dekat, dengan apa yang sedang kita saksikan berlaku pada hari ini.
Kedua-dua premis ini saling bersaing merebut perhatian tetapi dikembangkan dengan saksama oleh penulis lakon layarnya, Liz Hannah dan Josh Singer yang dua tahun lalu menulis “Spotlight”, sebuah lagi filem penting tentang kewartawanan.
Streep memainkan watak Graham dengan cukup bijaksana, perlahan-lahan membuka lapis demi lapis sosok seorang wanita yang ternampak lemah tetapi tidak tunduk kepada tekanan, dan kemudiannya muncul juara.
Ada beberapa adegan yang menarik bagaimana Spielberg menampilkan perubahan watak Graham, bermula dia melangkah masuk ke bilik mesyuarat ahli lembaga pengarah akhbar sampailah adegan akhir ketika melangkah keluar dari mahkamah.

Pada jalur yang pertama, filem ini bukanlah sangat tentang idealisme kewartawanan tetapi lebih tentang sosok seorang wanita yang tercampak ke medan sejarah dan kemudiannya dengan megah mencipta sejarah.
Pada jalur kedua ceritanya, The Post mengingatkan tentang pentingnya peranan media dalam masyarakat.
Peranan yang ditetapkan oleh bapa pendiri bangsa Amerika itu, yang diulang sebut oleh mahkamah dalam penghakiman Hakim Hugo Black yang terkenal, dipetik dalam adegan kemuncak The Post: “Media berkhidmat kepada yang diperintah, bukan kepada pemerintah.”
The Post mengingatkan tugas penting media yang bebas ialah menghalang kerajaan daripada menipu rakyat; bahawa mempertahankan hak kebebasan media untuk menerbitkan sesuatu berita ialah dengan menerbitkan berita itu.
Graham dan Bradlee kemudiannya mengemudi The Washington Post membongkar skandal besar yang akhirnya memaksa Presiden Richard Nixon mengaku kalah kepada kebenaran yang lebih berkuasa.

Kalau ada yang menganggap “All The President’s Men” sebagai filem ulung yang pernah dibuat tentang kewartawanan dan suratkhabar, The Post adalah prekuel kepada filem arahan Alan Pakula itu.
Malah adegan akhirnya akan cepat mengingatkan kita kepada petualangan Bob Woodward (Robert Redford) and Carl Bernstein (Dustin Hoffman) membongkar skandal Watergate dalam All The President’s Men.
Kalau Spotlight itu sebuah filem yang mengingatkan kita tentang peranan dan tanggungjawab wartawan, The Post sebaliknya mengingatkan pula akan tugas dan sikap yang harus ada pada pemilik media.
The Post bukan sebuah filem yang sempurna tetapi bukanlah juga sebuah filem yang buruk. Ia sebuah filem yang hadir tepat pada masanya – sepucuk surat cinta dari masa lalu untuk penguat semangat meredah zaman ini.

Terlepas daripada soal Pentagon Papers, The Washington Post dan The New York Times, dan Nixon, The Post adalah tentang kita – sebuah bangsa yang sedang diuji di tengah-tengah pembohongan yang diangkat sebagai kebenaran dan kebenaran yang cuba dipadamkan sebagai kepalsuan.
Di ranah politik semasa hari ini, bukan jarang kita melihat bagaimana media bertembung dengan kerajaan yang selalu mencurigai peranan Estet Keempat itu.
Bukan jarang juga kita melihat bagaimana kebenaran selalu dinafikan sebagai fitnah dan pembohongan, sementara sebaliknya fitnah dan pembohongan dijaja sebagai kebenaran.
The Post mengingatkan tugas penting media untuk sentiasa memihak kepada rakyat – sentiasa – dan sentiasa pula mempersoalkan kerajaan atas segala keputusannya, atas apa yang ia buat dan tidak buat.
Kalau tugas itu tidak dilakukan oleh media, siapa lagi?
Moga Tuhan menunjukkan kita jalan. – 18 Mac, 2018.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
Komen