Kes demam denggi meningkat, satu kematian minggu lepas, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kematian akibat demam denggi dilaporkan pada minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2023.

JUMLAH kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-12 2023 iaitu dari 19 Mac hingga 25 Mac, meningkat 14.8 peratus kepada 2,469 kes berbanding 2,151 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata satu kematian dilaporkan pada minggu tersebut.

Beliau berkata kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 26,222 kes berbanding 8,124 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu meningkat 18,098 kes atau 222.8 peratus manakala sebanyak 17 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh sama.

“Sebanyak 81 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 91 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 52 lokaliti hotspot di Selangor, 15 di Pulau Pinang, enam di Sabah, empat di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Perak dan satu di Kedah,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya pula merekodkan sebanyak satu kes pada ME12 dengan jumlah kumulatif sehingga kini adalah sebanyak 107 kes.

Bagi survelan zika, beliau berkata sebanyak 600 sampel darah dan empat sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dr Noor Hisham berkata susulan peningkatan kes denggi di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi diaktifkan semula dan satu mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Menurutnya jawatankuasa itu melibatkan 12 kementerian termasuk semua pejabat menteri besar dan ketua menteri serta Jabatan Wilayah Persekutuan dalam penentuan dasar dan strategi pencegahan dan kawalan denggi di Malaysia.

Beliau turut meminta pemimpin setempat, Jawatankuasa Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB), ahli Rukun Tetangga atau pihak berwajib menggerakkan komuniti untuk melakukan aktiviti cari dan musnah pembiakan nyamuk Aedes secara berjadual. 

Beliau juga menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta untuk menyokong inisiatif kawalan dan pencegahan secara berjadual. 

“Setiap lapisan masyarakat perlu mengambil tanggungjawab dan bertindak secara proaktif dalam usaha membantu mengurangkan kejadian kes demam denggi yang sedang meningkat ketika ini,” katanya. – Bernama31 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen