Boeing bantu pulihkan kawasan dilanda puting beliung di Mississippi, Alabama


Sekurang-kurangnya 26 orang termasuk 25 di Mississippi dan seorang di Alabama terbunuh selepas puting beliung dan ribut petir melanda kedua-dua negeri itu pada Jumaat lepas. – Gambar AFP, 31 Mac, 2023.

BOEING memperuntukkan AS$250,000 untuk membantu usaha pemulihan di negeri Mississippi dan Alabama Amerika Syarikat (AS) yang dilanda puting beliung yang telah menjejaskan komuniti di seluruh kawasan itu.

“Kami bersimpati kepada semua yang terjejas akibat puting beliung baru-baru ini di Mississippi dan Alabama,” lapor Agensi Berita Xinhua memetik kenyataan Naib Presiden Eksekutif Operasi Kerajaan di Syarikat Boeing, Ziad Ojakli.

Ojakli berkata Boeing bekerjasama rapat dengan organisasi yang berkaitan bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan kepada mereka yang memerlukan secepat mungkin.  

Sementara itu ketua pegawai pembangunan Palang Merah Amerika Anne McKeough berkata pihaknya menghargai bantuan daripada rakan kongsi seperti Boeing yang bekerjasama untuk memberikan keselesaan dan harapan kepada orang ramai ketika mereka sangat memerlukannya.

Sekurang-kurangnya 26 orang termasuk 25 di Mississippi dan seorang di Alabama terbunuh selepas puting beliung dan ribut petir melanda kedua-dua negeri itu pada Jumaat lepas. – Bernama, 31 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen