Pemandu pelancong, operator tidak berlesen di Sarawak jejas industri 


Desmond Davidson

Kewujudan pemandu pelancong dan operator tidak berlesen di Sarawak akan menjejaskan industri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2023.

PEMANDU pelancong dan operator tidak berlesen dilabel sebagai “hantu” dalam industri pelancongan Sarawak susulan cara mereka beroperasi dan ia mula menimbulkan kebimbangan kepada industri itu.

“Kami dimaklumkan mengenai mereka tetapi tidak tahu siapa mereka,” kata bekas pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak (STGA), Abang Azahari Abang Zaidan.

Kehadiran pemandu pelancong tidak berlesen ini pertama kali dilaporkan pada 2000 tetapi sehingga hari ini, persatuan itu tidak tahu berapa ramai yang terlibat, kata Abang Azahari dan penggantinya, Edwin Lim, kepada The Malaysian Insight.

“Kami tidak tahu mengenainya,” kata Lim.

“Sebab mereka tidak berdaftar,” sambung Abang Azahari.

Abang Azahari berkata apa yang beliau tahu ialah pemandu pelancong dan operator haram ini bergerak dalam kumpulan kecil dan melakukan kebanyakan transaksi perniagaan mereka dalam talian walaupun terdapat laporan mereka turut berkeliaran di lobi hotel dengan harapan dapat menjerat pelancong yang tidak curiga.

Beliau berkata pemandu pelancong tidak berlesen kebanyakannya ditemui di Kuching, manakala operator pula yang menjual pakej pelancongan - didapati kebanyakannya di Miri.

Beliau berkata satu pakej “popular” yang dijual oleh operator tidak berlesen ini ialah pakej Mulu.

“Modus operandi mereka mudah sahaja. Mereka menawarkan perkhidmatan ke tempat menarik, mengambil bayaran dan menghilangkan diri.

“Selepas pembayaran selesai, mereka hilang tanpa dapat dikesan.”

Abang Azahari berkata persatuan itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak boleh bertindak atas laporan yang diterima.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai kuasa dan ia bukan dalam bidang kuasa kami untuk menanganinya,” katanya.

“Kami bukan pihak berkuasa pelesenan. Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) adalah pihak paling tepat.

“Motac yang menjalankan kursus latihan pemandu pelancong dan mengeluarkan lesen kepada mereka, adalah pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap pemandu pelancong dan operator tidak berlesen ini.”

Beliau berkata malah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menanganinya.

Bagi menggambarkan betapa malangnya industri itu, Abang Azahari berkata sepanjang menjadi pengerusi, beliau tidak melihat sebarang tindakan diambil ke atas seorang pemandu pelancong atau operator tidak bertauliah.

“Tiada satu pun dibawa ke mahkamah.”

Abang Azahari berkata beliau tidak pasti sama ada kos untuk mengikuti kursus latihan pemandu pelancong Motac iaitu kira-kira RM6,800 menjadi faktor kehadiran pihak tidak berlesen itu.

“Tetapi apa yang pasti mereka mahu dikenali sebagai pemandu pelancong tetapi tidak mahu berdaftar. Mereka hanya tidak mahu dinilai.

“Terus terang, sukar untuk menentukan siapa mereka yang tidak berlesen. Kami tidak mempunyai cara untuk menangani masalah ini,” kata Lim.

Pada masa ini, terdapat 200 pemandu pelancong berlesen di dalam buku STGA. – 30 Mac, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen