Hadi dan Trump


Hishamuddin Rais

DONALD Trump menjadi presiden Amerika yang ke-45 pada 20 Januari 2017.

Abdul Hadi Awang pernah menjadi menteri besar Terengganu. Hadi angkat sumpah pada 2 Disember 1999 untuk menerima jawatan menteri besar Terengganu ke-11.

Dua sosok ini bukan kecil anak. Trump dan Hadi memiliki pengaruh. Satu di Amerika dan satu di Malaysia.

Dua sosok ini contoh pemimpin negara yang memakai sistem elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi hari ini.

Trump dan Hadi mewakili garis politik kanan. Ketika tulisan ini digarap garis politik kanan sedang mengampuh.

Setelah tamatnya Perang  Dingin jelas kelihatan garis kanan makin menyerlah.

Ombak kanan ini bukan sahaja di Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu atau di Malaysia, malah garis ini sedang merebak ke seluruh dunia.

Di Perancis ada parti Nasional Front. Di German ada parti AFD – Alternative For German. Di United Kingdom parti kanan Konservatif kini berkuasa.

Garis kanan parti ini menjayakan Brexit, di mana UK keluar daripada Kesatuan Eropah.

Satu contoh terbaik kejayaan garis kanan ini  ialah kemenangan Brothers of Italy yang melantik Georgia Meloni, wanita pertama pada Oktober 2022 sebagai perdana menteri Itali.

Dalam kerajaan campuran Meloni ada parti  berfahaman lebih kanan – saki baki daripada Parti Fasis Mussolini

Fasisme adalah fahaman kanan yang ekstrem. Fasis bermakna hanya satu parti  yang memandu daulah.

Negara fasis menolak konsep kepelbagaian dan menafikan wujudiah masyarakat majmuk.

Hampir kesemua parti garis kanan ini memiliki dasar-dasar yang sama atau hampir-hampir sama.

Ciri utama garis kanan dan ideologi induk kaum kanan ialah antisosialis dan antikomunis.

Ini tanda awal untuk mengenal parti atau individu itu antikaum tertindas, prokaum kapitalis dan menyokong kaum pemodal.

Hadi di Malaysia melalui Parti Islam Semalaysia membawa garis kanan yang amat menonjol.

Sebagai parti yang berasaskan agama,a ia menolak fikiran pendapat dan ilmu kajian daripada manusia.

Justeru parti Islam PAS menolak sekular. Antisekular menjadi rukun perjuangan. Melawan sekular menjadi garis perjuangan parti .

Sekular adalah pandangan dan pendapat yang lahir daripada fikrah manusia bukan dari langit, daripada wahyu atau daripada mimpi.

Sekular ini menjadi musuh pertama Hadi. Kempen anti sekular ini dibawa ke hulu ke hilir oleh Hadi dan PAS.

Parti politik, NGO atau individu yang sekular ini digambarkan sebagai menolak agama.

Menolak agama kalau di Malaysia ini khususnya untuk orang Melayu memberi makna menolak Islam. Menolak Islam memberi makna murtad.

Darah Si Murtad dan ajaran Islam yang dianuti oleh PAS dan Hadi adalah halal.

Sebenarnya pemahaman orang ramai terhadap sekular juga tidak padu dan tuntas.

Di Malaysia  sekular dihebohkan dan dipropagandakan sebagai antiagama justeru anti-Islam.

Walhal dalam pentadbiran negara-negara di dunia hari ini, sekular hanya satu-satu garis pentadbiran yang teratur dan meyakinkan. 

Sekularisme sentiasa wujud bersama masyarakat plural atau pluralisme.

Justeru, plural menjadi musuh kedua yang ditentang oleh Hadi dan parti Islam PAS.

Plural membawa erti lebih daripada satu. Masyarakat plural adalah masyarakat yang pelbagai bangsa dan suku kaum, yang hidup berdampingan tetapi berlainan dalam satu entiti politik.

Malaysia adalah contoh terbaik negara plural dengan masyarakat majmuk.

Mustahil Hadi tidak mengenal Guan Eng sebagai Cina dan Ramasamy sebagai India. Manakala Temenggung Jugah Anak Bariang adalah Dayak dan Batin Lintang adalah Sakai.

Nama-nama ini adalah dari nasion yang berlainan –  suku kaum yang berbeza-beza tapi semuanya warga Malaysia.

Perkara ketiga yang dijadikan musuh oleh parti Islam PAS ialah liberalisme.

Faham liberal ini menjadi musuh ketat Hadi kerana liberal ini wujud secara tersendiri. Liberalisme wujud secara organik dalam masyarakat yang sekular dan majmuk.

Liberal adalah fahaman – cara berfikir. Cara memiliki pandangan dunia.

Liberal adalah kesediaan menerima dan menghormati pandangan, budaya, tingkah laku dan pandangan orang lain walau pun pandangan itu berbeza daripada pandangan yang kita anuti.

Fahaman liberal terbuka dan bersedia menerima pandangan dan pendapat baharu.

Dalam politik kaum, liberal memiliki falsafah yang memperkasa hak asasi kebebasan individu, memperkasa demokrasi dan menyokong perniagaan bebas.

Hadi dan parti Islam PAS menentang liberal. Ini kerana fahaman liberal memiliki pandangan terbuka.

Pandangan dunia kaum liberal melihat dunia kita ini pelbagai rencah dan rencam.

Dunia yang wujud hari ini ada pelbagai gaya hidup. Ada pelbagai pandangan dunia. Justeru ada pelbagai pandangan agama.

Semua agama adalah sama. Semua agama mendidik penganut untuk membuat kebaikan dan kebajikan di atas muka bumi ini.

Kaum liberal mempercayai semua agama. Kaum liberal menghormati semua agama.

Kaum liberal menghormati individu yang beragama dan juga yang tidak percaya kepada ajaran apa-apa agama.

Malah Sang Liberal itu sendiri mungkin beragama dan mungkin tidak beragama.

Perkara keempat yang menjadi musuh Hadi ialah orientasi seksual. Atau dengan apa yang dikenali sebagai LGBT – Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender.

Orientasi seksual dan gaya hidup ini menjadi musuh ketat Hadi dan parti Islam PAS.

Homoseksual ialah keberahian lelaki dengan lelaki. Lesbian ialah keberahian perempuan dengan perempuan. Biseksual ialah keberahian terhadap lelaki dan perempuan.

Manakala transgender merujuk individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka.

Justeru, kita membaca dan melihat bagaimana Sajat, seorang Mak Nyah, dibantai, diserang, ditangkap hingga Si Sajat ini melarikan diri ke Australia.

Ada satu lagi ciri parti politik kanan yang amat jelas. Pandangan ini dimiliki oleh semua parti politik kanan dan penganut ideologi kanan.

Ideologi kanan menolak pluralisme, justeru menolak Yang Lain atau The Other. Yang lain daripada diri mereka dianggap musuh dan wajib dilawan.

Yang lain ini bukan orang kita. Yang lain bukan suku sakat kita. Yang lain tidak sama dengan kita. Kita dengan yang lain tidak mungkin dapat persamaan.

Kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan tidak wujud dalam istilah politik kanan.

Dalam konteks Malaysia, yang lain ini adalah Cina dan India. Dalam politik Malaysia, yang lain yang dijadikan musuh ialah parti DAP dan MCA dan MIC.

Dari persejarahan, kumpulan atau parti-parti politik ini ditubuhkan oleh orang Cina dan India.

Dalam mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan sokongan, parti politik memerlukan musuh.

Laungan dan slogan dan gedang perang wajib ditujukan kepada musuh yang telah dikenali.

Mengenal musuh dan kemudian menjadikan musuh itu sasaran politik adalah taktik perang untuk semua parti politik.

Kita lihat bagaimana Trump berjaya membawa  konsep MAGA – Make America Great Again. Slogan dan laungan Trump ini menusuk kalbu warga Amerika.

Setiap kali di akhir ucapan Trump akan keluar ayat: God bless  Amerika – Tuhan merahmati Amerika.

Ini akan disambut dengan laungan USA… USA.. USA. Ini slogan untuk memberi ingatan bahawa satu ketika dulu United States of America adalah negara terunggul dalam dunia.

Manakala setiap kali Hadi mengakhiri ucapan atau ada kata-kata Hadi yang dipersetujui dan sedap didengar, ia akan disambut dengan laungan takbir.

Kita membaca dan melihat bagaimana Trump mahu mendirikan pagar dan tembok batu untuk menghalang kemasukan pendatang haram ke Amerika.

Kita juga membaca dan melihat baru-baru ini  seorang Pakcik Melayu memuat turun klip di media sosial bagaimana dia melihat Yang Lain sedang mengambil alih Pasar Borong Selayang.

Kes warga Rohingya menakluk Pasar Borong Selayang ini menjadi contoh terbaik untuk melawan Yang Lain.

Dari media sosial ini kita dipaparkan kemarahan Pakcik yang jelas dilihat Melayu Islamnya. Pakcik daripada berkempen antipendatang di Selayang kini beralih pula ke Kepala Batas.

Pakcik ini memilih Rohingya. Ini kumpulan Yang Lain yang paling lemah untuk ditibai. Apakah Pakcik ini satu masa nanti akan membuat klip yang sama di Bukit Bintang di mana semua kedai, gedung membeli belah adalah milik Cina?

Apa yang tersirat dan tersurat dalam klip media sosial Pakcik Melayu Islam itu ialah kebencian terhadap pendatang asing.

Maju mara garis politik kanan ini adalah manifestasi kegagalan elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi.

Sekular, liberal, plural dan LGBT akan terus menjadi agenda politik parti Islam PAS.  

Serangan PAS terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan empat perkara ini sedang mengampuh.

Laungan “God bless America” dan “Takbir” di Malaysia berpunca daripada budaya yang sama.

Sekular, liberal, plural dan LGBT adalah empat peluru berpandu menjadikan PH dalam keadaan terdesak.

Malah PH dilihat gelabah tak tentu hala apabila berhadapan dengan empat peluru berpandu dari  Hadi ini.

Apa jawapan Anwar Ibrahim terhadap serangan Hadi?

Anwar dan Hadi daripada satu kabilah. Anwar daripada Abim Pusat manakala Hadi daripada Abim Terengganu. Dua sosok ini amat kenal mengenal.

Trump yakin dia akan menang dalam pemilihan 2024. Hadi juga yakin dia akan menang dalam PRN yang akan sampai tidak lama lagi.

Takbir dan God Bless America sedang mengampuh.

Apakah garis kanan ini akan menetaskan  kerajaan fasis seperti kerajaan Hitler di Jerman atau kerajaan Mussolini di Itali atau kerajaan Tojo di Jepun?

Apakah garis Islam kanan yang dibawa oleh Hadi ini akan menuju ke kerajaan Taliban seperti di Afghanistan?

Tunggu minggu hadapan dan lihat apa terjadi. Amin. – 29 Mac 2023. 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen