Letak badan bebas siasat pihak berkuasa bawah Parlimen, kata C4


Ravin Palanisamy

C4 berkata badan bebas bagi menyiasat aduan dan salah laku badan penguatkuasaan perlu benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac 2023.

PUSAT Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyambut baik cadangan untuk membentuk badan pemantau yang telus dan bebas untuk menyiasat aduan tentang salah laku dalam semua agensi penguatkuasaan. 

Namun badan pemantau yang dicadangkan itu perlu benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, kata ketua pegawai eksekutifnya Pushpan Murugiah.

Katanya C4 sejak sekian lama menyeru agar satu badan bebas dibentuk, terutamanya berkaitan beberapa institusi yang menghadapi tuduhan rasuah dan bebas bertindak pada masa lalu.

Puspan menegaskan, seiring dengan pendirian kerajaan untuk lebih tegas membanteras rasuah, institusi yang dimanahkan untuk melaksanakan tugas itu harus mengekalkan ketelusan dan integriti.

“Ciri paling penting ialah badan bebas ini harus benar-benar bebas, tidak terpengaruh oleh campur tangan politik dan harus bertanggungjawab hanya kepada Parlimen.

“Maka barulah persoalan mengenai kuasa dan fungsi badan ini menjadi relevan kerana ia tidak akan dimanipulasi oleh individu atau pihak tertentu untuk kepentingan mereka sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambah beliau badan sedia ada seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC), Biro Pengaduan Awam, dan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang belum dikuatkuasakan terlalu lemah, dan mudah disalahgunakan bagi tujuan politik.

Pushpan juga berkata badan bebas yang dicadangkan itu memerlukan kuasa penguatkuasaannya sendiri.

“Badan ini mesti mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menyiasat agensi penguatkuasaan secara bebas tanpa perlu menghentikan siasatan secara mengejut.

“Badan ini juga perlu diberi kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan, bukannya membiarkan agensi penguatkuasaan yang berkaitan menjalankan siasatan dalaman,” tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan satu badan bebas dibentuk untuk mengambil tindakan serta menyiasat semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua badan penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Anwar berkata ini bagi memastikan badan penguatkuasaan yang terlibat dalam kes salah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka. 

Perdana menteri berkata cadangan penubuhan badan bebas itu dilihat wajar kerana ia lebih menyeluruh dan boleh mengambil tindakan terhadap semua aduan membabitkan badan penguatkuasaan. 

“Bila timbul isu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dipertikai polis ialah mengapa dituju khusus untuk mereka padahal permasalahan itu harus melibatkan semua agensi penguatkuasaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Anwar berkata beliau telah meminta Jabatan Peguam Negara supaya mengkaji semula cadangan untuk membentuk badan bebas itu.

Mengulas lanjut, Pushpan mencadangkan badan bebas tersebut mesti dipimpin oleh individu yang mempunyai pengetahuan tentang struktur, kerja-kerja dalaman serta budaya agensi penguatkuasaan yang dipantau.

“Mereka boleh dipilih daripada kalangan ahli akademik, peguam atau bekas pegawai tinggi kerajaan.

“Apa yang penting ialah mereka berpengetahuan luas tentang fungsi agensi penguatkuasaan,” katanya. – 29 Mac 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen