-2.jpg)
KENYATAAN Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim semalam bermula tahun ini pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 merupakan tindakan bercanggah dengan tujuan murni menggalakkan orang ramai menyimpan duit untuk masa depan pendidikan anak.
Kerajaan sepatutnya meningkatkan pelepasan cukai untuk mendorong orang ramai menyimpan wang, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global dan domestik yang tidak stabil pada ketika ini.
Malah, saya juga melihat alasan diberikan Sim berhubung perkara ini amatlah tidak meyakinkan.
Jika diperhatikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menghadapi tekanan kewangan pada masa ini.
Justeru, dengan memberi galakan kepada orang ramai menabung demi masa depan anak juga pastinya akan dapat membantu meringankan tekanan PTPTN dalam menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan, seterusnya membantu kerajaan dalam mengurangkan tekanan kewangan.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Dr Mohd Nizom Sairi turut mengakui segala dasar kerajaan perlulah selari dengan keperluan rakyat.
Memetik laporan media, ketika ditanya kemungkinan pencarum berhenti mencarum susulan perkembangan itu, beliau berkata pihaknya akan menyampaikan pandangan orang ramai kepada kerajaan bagi memastikan dasar berkenaan selari dengan keperluan rakyat.
Menurutnya, cadangan untuk mengkaji semula keputusan menghentikan insentif berkenaan adalah di pihak rakyat.
Oleh itu, saya merayu dan memohon kerajaan menerusi Kementerian Kewangan supaya menarik balik pengumuman yang dibuat Sim.
Berilah rakyat ruang untuk terus bernafas pada saat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan tidak stabil pada ketika ini.
Orang ramai pastinya menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia Madani yang dapat membela nasib rakyat pada saat memerlukan dan ketika rakyat hampir “lemas” pada ketika ini. – 28 Mac, 2023.
* Lawrence Low adalah timbalan bendahari agung MCA.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen