KEPUTUSAN mengekalkan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki membuktikan agensi antirasuah itu bebas dan tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri, kata Anwar Ibrahim hari ini.
Anwar berkata beliau melanggar kebiasaan yang diamalkan penyandang sebelum ini dengan tidak melantik ketua SPRM baharu selepas dilantik ke jawatan tertinggi itu.
“Mengikut peraturan dan perundangan semasa, SPRM adalah sebuah badan bebas,” kata ahli Parlimen Tambun pada waktu Soal Jawab Menteri.
“Sebab itu apabila saya dilantik (sebagai perdana menteri), saya tidak memilih untuk menukar ketua SPRM yang dilantik oleh Pagoh (Muhyiddin Yassin).
“Saya tidak mahu menimbulkan persepsi yang perdana menteri baharu akan melantik ketua SPRM baharu.
“Peruntukan undang-undang semasa menjamin kebebasan SPRM dan ia tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri,” tambah Anwar.
Anwar menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-PN), yang meminta kesediaan kerajaan untuk bertindak atas saranan Transparency International Malaysia agar SPRM berada di bawah bidang kuasa Parlimen. – 28 Mac, 2023.
Berita penuh di sini
Komen