PEGAWAI kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengecam pegawai penguat kuasa yang menggunakan jawatan mereka untuk mendapatkan rasuah daripada warga asing.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya dalam catatan panjang yang dimuat naik di laman web antirasuah menyifatkan situasi itu sebagai “semakin kronik dan membimbangkan”.
“Segelintir penguatkuasa undang-undang yang tidak berintegriti melihat ramai pendatang tanpa izin, pekerja asing dan pelajar negara ini sebagai ‘peluang besar’ untuk meminta rasuah,” katanya hari ini.
Menurut Khusairi, penahanan penyeludup manusia dan sindiket penipuan dalam talian dalam beberapa siri operasi yang diketuai SPRM, membuktikan betapa seriusnya isu itu, yang memerlukan tindakan segera pihak berkuasa.
“Tahap rasuah pegawai penguat kuasa di barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.
“Memang menyedihkan dan ia sesuatu yang memalukan untuk diterima, tetapi inilah yang sering dihadapi warga asing. Inilah realiti yang sedang berlaku, dan ia merosakkan nama baik negara,” katanya.
Khusairi juga berkata pegawai rasuah meminta rasuah di sempadan negara untuk mempercepatkan proses keluar masuk bagi warga asing yang tinggal lebih masa, atau mereka yang terlibat dalam jenayah.
“Ada yang disenaraihitamkan atau tidak memenuhi syarat kemasukan tetapi masih boleh memasuki sempadan kita kerana pegawai kita rasuah.
“Pegawai yang tidak bertanggungjawab ini membenarkan penyalahgunaan visa pelajar asing untuk tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
“Ada juga yang melakukan perkara yang tidak dapat dibayangkan dengan melindungi aktiviti pelacuran, sindiket perjudian, rumah urut, dan operator penipuan Macau,” tegasnya.
Memetik slogan “Malaysia Boleh” yang pernah digunakan untuk menggambarkan keagungan negara, Khusairi berkata frasa itu kini digunakan untuk membayangkan semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah. – 27 Mac, 2023.
Komen