SPRM kesan 20 lagi individu miliki aset hasil 1MDB, lapor media


Dua pegawai khas kepada seorang bekas perdana menteri antara 20 lagi individu yang didakwa memiliki aset hasil dana 1MDB , lapor Utusan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac 2023.

AGENSI antirasuah mengenal pasti 20 lagi individu yang didakwa memiliki aset hasil dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk dua pegawai khas kepada seorang bekas perdana menteri, lapor Utusan Malaysia.

Aset itu termasuk hartanah, wang simpanan di bank serta saham, lukisan, dan barang kemas, yang kesemuanya dikesan berada di negara luar, kata laporan itu memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kesemua aset yang dikenal pasti tersebut adalah sebahagian 30 peratus dana 1MDB yang masih diperincikan SPRM dalam usaha mendapatkannya semula.

“Kesemua aset berkenaan dipercayai berada di beberapa negara seperti Hong Kong, Perancis, Switzerland, Luxembourg, Singapura, United State, Kuwait, Germany, Mauritius dan luar pesisir serta beberapa negara lain,” kata sumber yang dipetik laporan itu.

SPRM kini sedang giat cuba mendapatkan aset berkenaan melalui kerjasama agensi penguatkuasa undang-undang di negara berkenaan, tambah sumber.

Laporan sebelum ini menyebut SPRM sedang mengesan untuk mendapatkan semula aset yang ada kaitan dengan 1MDB melibatkan beberapa nama yang pernah disebut oleh bekas pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara Tim Leissner.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs Roger Ng yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014.

Semasa perbicaraan kes di Amerika Syarikat, Leissner menyebut nama antara lain bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad Rohana Rozhan.

Leissner yang mengaku mempunyai hubungan sulit mendakwa Rohana mengugutnya untuk dibelikan rumah bernilai AS$10 juta di London jika tidak mahu penglibatannya dalam skandal 1MDB didedahkan.

Minggu lepas, SPRM mengesahkan Rohana sudah memulangkan secara sukarela wang AS$10 juta dan aset yang dikaitkan dengan dana 1MDB kepada agensi itu tahun lalu. – 27 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen