Pusat keamanan Saudi penting tapi siapa biaya, tanya pakar


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (bersongkok, tengah) ketika mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi bermula Rabu lepas. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 26 Mac, 2023.

MEMPUNYAI pusat keamanan antarabangsa di negara ini boleh meletakkan Malaysia pada tahap yang sama dengan negara maju lain, kata pakar selepas kerajaan terbuka adakan perbincangan semula pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

Mereka berkata pusat seperti itu perlu untuk melihat konflik di rantau Asia Tenggara termasuk Islamofobia dan ekstremisme.

Pada Sabtu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia terbuka untuk mengadakan perbincangan semula pembinaan KSCIP dan tidak bersetuju dengan kaedah penutupan operasi pusat berkenaan sebelum ini yang dibuat tanpa rundingan dengan kerajaan Arab Saudi.

KSCIP pertama kali dicadangkan selepas lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 dan penyertaan perdana menteri ketika itu Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri oleh presiden AS ketika itu Donald Trump.

Ia kemudiannya ditutup oleh kerajaan baharu Pakatan Rakyat pada 2018, satu langkah yang tidak dipersetujui oleh Anwar.

Pakar keselamatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Ahmed El-Muhammady berkata Malaysia boleh menjadi jambatan antara negara Arab, Asia Tenggara dan blok Barat dengan kebangkitan semula pusat itu.

Ahli akademik itu menambah pusat itu boleh meneliti perkara penting yang mengelilingi dunia Islam - daripada Islamofobia kepada radikalisasi yang melibatkan umat Islam.

“Sekiranya ia dibangunkan semula, kita akan mempunyai badan antarabangsa dengan pakar dari seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada pembinaan keamanan. Potensinya besar dan manfaatnya kepada kami sangat besar.

“Ini adalah jambatan antara kita di Asia Tenggara dan dunia Barat serta liga Arab.

“Pusat itu juga boleh mengeratkan hubungan kami dengan Arab Saudi dan oleh itu idea untuk mengembalikan semula pusat itu adalah baik dan harus dipertimbangkan,” kata Ahmed.

Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud bersama bekas perdana menteri Najib Razak semasa sidang kemuncak di Riyadh pada 2017. – Gambar EPA, 27 Mac 2023.

Siapa yang akan membiayai pusat itu?

Sementara itu Iman Research - sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada keselamatan perlindungan dan pembinaan keamanan mempersoalkan siapa yang akan membiayai pusat itu.

Pengarah programnya Badrul Hisham Ismail berkata walaupun terdapat keperluan untuk pusat pembinaan keamanan antarabangsa, Putrajaya perlu jelas mengenai siapa yang akan membiayai projek itu.

“Siapa yang akan membayar projek itu? Adakah ia dari Kerajaan Saudi? Jika tidak nama itu tidak sepatutnya Raja Salman. Jika kita membayarnya, ia sepatutnya tertera nama kita,” kata Badrul.

Badrul juga memperkecilkan keberkesanan Saudi dalam memerangi radikalisme dan dalam memupuk pembinaan keamanan, sambil menambah kerajaan itu juga terlibat dalam peperangan di Yaman.

“Arab Saudi tidak begitu berkesan dalam menangani radikalisme. Mereka kontroversi kerana mereka bertanggungjawab dalam peperangan di Yaman.

“Mereka tidak boleh bertindak sebagai perunding damai dalam konflik Palestin-Israel, jadi jika Saudi tidak boleh memainkan peranan di wilayahnya sendiri di Timur Tengah bagaimana kita boleh mengharapkan mereka memainkan peranan di peringkat antarabangsa.

“Tidak menjadi pemain utama dari segi keamanan di rantau anda sendiri, terlibat dalam peperangan dan membuka institut keamanan dan perdamaian. Itu adalah antitesis penyelesaian konflik,” katanya. – 27 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen