PEMUDA Bersatu harus buktikan jika benar Lim Guan Eng membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa pengerusi DAP itu jadi menteri kewangan seperti yang didakwa Muhyiddin Yassin, kata Kelvin Yii.
“Daripada cuba memesong atau mengalihkan tiang gol, mereka sepatutnya menjawab persoalan ‘benar atau tidak Lim Guan Eng mengeluarkan arahan khusus untuk membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary?” soal ketua Pemuda DAP itu dalam kenyataan hari ini.
Malah persoalan utama itu juga belum Muhyiddin buktikan atau cuba kemukakan bukti walaupun presiden Bersatu itu telah diberikan masa dan peluang yang mencukupi untuk berbuat demikian, tambahnya.
Kelvin berkata Pemuda Bersatu dan ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sudah hilang moral apabila cuba mempertahankan pembohongan dan fitnah jika gagal membuktikan tuduhan Muhyiddin itu benar.
Kelvin mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal semalam, yang mengingatkan Lim supaya tidak menggunakan ugutan terhadapnya laporan polis yang dibuat terhadap ahli Parlimen Bagan itu dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau juga berkata Lim tidak perlu berdrama, sebaliknya patuh kepada peruntukan undang-undang apabila menuduh orang lain.
“Jangan hanya propaganda. Jangan jadi telunjuk lurus kelingking berkait.
“Lim Guan Eng datang ke balai polis siap dengan banner ‘Muhyiddin Fitnah’ apabila membuat laporan polis. Beliau juga menyebarkan laporan polisnya.
“Ini suatu perkara yang direncanakan untuk tujuan propaganda DAP kerana beliau terkesan dengan apa yang saya katakan,” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam satu kenyataan semalam.
Ahli Parlimen Machang itu mengulas kenyataan Lim semalam, yang mendakwa laporan polis terhadapnya dan Anwar berhubung isu membatalkan status pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary adalah palsu dan melanggar Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Wan Ahmad Fayhsal juga silap kerana cuba membawa prosiding Parlimen kepada pihak polis serta tidak menghormati dan memahami prinsip keluhuran Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya dalam kenyataan dimuat naik ke Facebook.
Dalam kenyataan balasnya Wan Ahmad Fayhsal berkata laporan polis terhadap Lim dan Anwar jelas dan mudah dibaca dalam bahasa yang tidak rumit atau mengelirukan.
“Saya yakin apa yang saya cakapkan dan akan mempertahankan pemimpin saya yang dianiayai,” katanya. – 26 Mac 2023.
Komen