BANGUNAN Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur terbakar hari ini.
Ia dipercayai bermula daripada kedai di Institut Perubatan Forensik Negara namun ia berjaya dikawal oleh anggota pasukan bomba dari hospital berkenaan.
Kakitangan hospital dan pesakit berjay dikeluarkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khairuddin Drahman berkata, kebakaran itu bermula kira-kira jam 12.30 tengahari dan pasukan bomba yang tiba pada jam 12.36 tengahari berjaya mengawalnya pada jam 1.20 petang.
Katanya 31 anggota bersama empat jentera dikerahkan ke lokasi.
“Anggota Hazmat turut dikejarkan ke lokasi kerana kebakaran itu membabitkan peralatan dan bahan biokimia,” kata Khairuddin.

Katanya, ketika kejadian hanya dua kakitangan Jabatan Forensik hadir. Kedua-duanya bertindak memanjat bumbung untuk mengelakkan api dan asap tebal.
“Terdapat laluan kecemasan tetapi kerana asap terlalu tebal, jadi mereka memanjat ke bumbung. Api sudah merebak ke tahao kedua. Ia memusnahkan makmal terbabit,” kata Khairuddin.
Beliau berkata, kedai di bangunan itu juga musnah sama sekali manakala bahagian lain hanya mengalami kerosakan kecil akibat api dan asap.
Puca kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan, dan kata Khairuddin berkemungkinan besar ia berpunca daripada litar pintas.
“Tiada barangan lain dalam stor berkenaan. Hanya sarung tangan dan barangan kapas,” katanya.
Mayat dipindahkan
Sementara itu, 19 mayat yang ditempatkan di bilik sejuk di biik mayat Hospital Kuala Lumpur mungkin terpaksa dipindahkan ke hospital lain yang berdekatan berikutan bekalan kuasa ke bilik berkenaan dipotong ketika kebakaran itu dan masih belum dipulihkan.
“Mayat terbabit perlu diletakkan di tempat simpanan sejuk dan buat masa ini, penyejuk tidak berfungsi. Kami mungkin perlu pindahkan mayat ke lokasi lain jika bekalan kuasa tidak dibaiki secepat mungkin,” kata Khairuddin.

Bagi pesakit, Khairuddin berkata mereka akan diberi kebenaran untuk kembali ke bilik mereka secepat mungkin.
Bagi jumlah pesakit yang dipindahkan, Khairuddin berkata beliau tidak mempunyai butiran lanjut, namun menegaskan sekiranya dalam situasi kebakaran, kesemua pesakit akan dipindahkan atas sebab keselamatan.
“Pesakit dan pelawat akan dipindahkan di tempat berhimpun,” kata Khairuddin.
Sementara itu, pengarah Hospital Kuala Lumpur Dr Nor Akma Yusuf berkata, operasi hospital tidak terjejas dan menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung kejadian itu. – 17 Mac, 2018.
Komen