KERAJAAN Sarawak menjelaskan pihaknya tidak membeli tiga Toyota Mirai berkuasa hidrogen untuk digunakan oleh tiga timbalan perdana menteri negeri itu.
Premier Sarawak Abang Johari Openg, dalam satu kenyataan berkata kereta itu adalah “hadiah UMW kepada kerajaan untuk mempromosikan tenaga hijau kerana Sarawak adalah penggalak utama tenaga hijau” ketika menjawab kepada presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan untuk menjelaskan pembelian itu.
UMW Toyota Motor Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Kumpulan UMW, terlibat dalam pemasangan, pemasaran dan pengedaran eksklusif kenderaan Toyota di Malaysia.
Abang Johari berkata negeri itu diberikan kereta berkenaan kerana Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai kemudahan bahan api hidrogen.
Voon sebelum ini menuduh negeri itu tidak mengendahkan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu apabila beliau berkata kerajaan Sarawak harus mengikut apa yang perdana menteri mahu.
Tambahnya memandangkan kereta berkuasa hidrogen berteknologi tinggi itu tidak murah dan penyelenggaraannya mungkin tinggi, negeri harus mewajarkan keperluannya kepada pembayar cukai.
Pada majlis penyerahan kereta sedan itu Rabu lepas, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Aziz Hussein memberitahu pemberita bahawa ketiga-tiga kereta itu adalah untuk kerajaan persekutuan.
Tetapi kerana tiada stesen pengisian hidrogen di semenanjung, kereta itu dihantar ke Sarawak.
Hanya lima kereta seumpama itu di negara ini, kesemuanya di Sarawak.
Satu untuk kegunaan Abang Johari.
UMW Toyota Motor menyerahkan kesemua lima unit kepada SEDC Energy, anak syarikat pengeluar hidrogen SEDC. – 24 Mac, 2023.
Komen