Kes harian rendah tetapi ancaman Covid-19 masih ada, kata pakar


Ravin Palanisamy

Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai terus waspada dengan Covid-19 terutama pada aktiviti perjumpaan sempena Ramadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2023.

VIRUS Covid-19 kekal sebagai ancaman walaupun kes harian rendah tetapi pakar kesihatan menggesa orang ramai berhati-hati terutama pada perhimpunan besar pada bulan puasa.

Jangkitan harian menurun kepada di bawah 300 kes dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi pakar berkata  orang ramai masih perlu memakai pelitup muka ketika bersesak dalam kawasan tertutup.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Muruga Raj Rajathurai berkata rakyat Malaysia yang menyambut Ramadan berkemungkinan mengunjungi ahli keluarga untuk berbuka puasa bersama.

Beliau berkata orang ramai mesti berhati-hati dengan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Apabila melawat seseorang dalam kategori berisiko tinggi, pastikan orang itu dan mereka yang melawat memakai pelitup muka,” katanya.

Muruga Raj berkata walaupun kes Covid-19 di negara ini terkawal, orang ramai tidak boleh ambil mudah.

Beliau berkata mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi harus sedar mengenai potensi risiko yang masih boleh ditimbulkan oleh virus itu.

“Seseorang mungkin sudah mendapatkan vaksin lengkap dan diberi penggalak tetapi mungkin mempunyai masalah kesihatan yang boleh menyebabkan komplikasi jika mereka dijangkiti virus itu.

“Mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi masih perlu berhati-hati dengan risiko simptom yang teruk jika dijangkiti,” kata Muruga Raj kepada The Malaysian Insight.

Presiden MMA itu berkata adalah lebih baik bagi yang berada dalam kategori berisiko tinggi mendapatkan suntikan penggalak dan terus memantau langkah keselamatan yang kini diabaikan.

“Individu dalam kumpulan berisiko tinggi dinasihatkan mendapatkan suntikan penggalak kedua jika perlu dan memakai pelitup muka apabila berada di tempat tertutup, sesak dan sempit.

“Juga pastikan jarak satu meter jika boleh dan bawa bersama sanitizer tangan untuk digunakan ketika keluar,” katanya.

Muruga Raj turut menekankan kepentingan menguatkan sistem ketahanan seseorang supaya dapat membantu mencegah jangkitan atau mengurangkan tahap keterukan gejala jika dijangkiti Covid-19.

“Pemakanan sihat, senaman yang kerap, rehat berkualiti dan pengurusan tekanan yang berkesan adalah cara mudah untuk menguatkan sistem imun,” katanya.

Pemeriksaan perubatan berjadual juga penting kerana ia membolehkan seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka, tambahnya. – 24 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen