TOKOH Wartawan Negara Johan Jaaffar hari ini menggesa menteri dan pegawai kerajaan agar berhenti menyalahkan media atas kesilapan atau kelemahan mereka sendiri.
Katanya menteri dan pegawai kerajaan perlu bertanggungjawab dan mengakui kesilapan sendiri apabila sesuatu perkara tidak berjalan lancar atau tidak memihak kepada mereka, bukan membuat tuduhan melulu terhadap media.
Beliau menegaskan isu perkauman di negara ini dinyalakan oleh ahli politik untuk kepentingan mereka sendiri.
“Jangan mengutuk media untuk mengelak tuduhan ke atas kesilapan, kelalaian dan kesilapan mereka sendiri,” kata Johan dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang semalam yang mendakwa wartawan “sengaja mahu menyalakan api” dalam isu sensitif, terutamanya berkaitan isu kaum dan agama.
Aaron berkata demikian kepada pemberita yang memintanya mengulas mengenai program Jom Ziarah Gereja anjuran sebuah NGO yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya dah beritahu media, tolong redakan isu sensitif. Anda cuba ‘menyimbah minyak’ ke negara ini, tolong jangan lakukan itu,” katanya dipetik Malaysiakini selepas melancarkan pameran “Hanya Dikau - Seniman Agung P Ramlee” di Terminal 1 KLIA semalam.
Mengulas lanjut kenyataan Aaron itu, Johan berkata menteri perpaduan itu sepatutnya perlu lebih bertanggungjawab apabila membuat tuduhan.
Beliau selain itu terkejut Aaron memberi amaran keras agar pengamal media berhenti menjadi batu api.
“Beliau menyerang pihak yang salah. Hakikatnya media Malaysia selama ini sudah cukup berhati-hati dan mengelak daripada melaporkan perkara berbaur perkauman.
“Pengamal media faham peranan mereka dalam negara Malaysia berbilang kaum dan etnik,” kata Johan.
Jelasnya lagi, meskipun menjunjung kebebasan media dan percaya kebebasan media adalah asas kepada demokrasi, namun pengamal media cukup bertanggungjawab untuk tidak menyemarakkan ketegangan antara kaum. – 23 Mac 2023.
Komen