Tiada perbelanjaan membabi buta demi popularkan PM, kata Rafizi


Ravin Palanisamy

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan PH akan berbelanja dengan bijak bagi mendapatkan nilai terbaik, dengan mengambil kira defisit negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2023.

KERAJAAN akan terus berbelanja besar tetapi ia bukan semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meraih populariti di kalangan rakyat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata kerajaan akan terus berbelanja dengan bijak untuk mendapatkan nilai terbaik, dengan mengambil kira defisit negara.

“Dari segi perancangan aturan kerajaan, kerajaan akan terus berbelanja besar tetapi tidak akan (berhutang) semata-mata untuk dapat sokongan rakyat di bawah dengan mengambil hutang yang besar supaya perdana menteri nampak popular, sehingga kita melepasi tahap defisit yang secara antarabangsanya dikira sudah dalam keadaan,” kata ahli Parlimen Pandan itu di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab menteri.

“Tidak berhutang bukan bermakna kerajaan tidak berbelanja. Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Tambun (Anwar) baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah negara kita.

“Maknanya kerajaan sudah belanja. Perbelanjaan pembangunan lebih RM90 bilion adalah yang terbesar dalam sejarah negara kita.

“Tidak timbul soal kerajaan tak belanja. Yang penting kerajaan berbelanja berhemah dan dapat nilai terbaik,” tambah Rafizi.

Rafizi menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar-BN), yang meminta penjelasan tindakan kerajaan yang tidak mahu berhutang bagi memulihkan keadaan ekonomi negara.

Dalam jawapan sarkastik, Rafizi berkata kerajaan tidak mahu berbelanja secara “membuta tuli”, seperti dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, ketika Shahar menjadi timbalan menteri kewangan II.

“Dan bukan berhutang ‘buta’, tetapi akhirnya hutang itu digunakan untuk biaya projek-projek seperti Jana Wibawa,” kata Rafizi.

Kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin memperkenalkan Jana Wibawa untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat beberapa pemimpin Bersatu baru-baru ini mengenai skim itu.

Rafizi berkata hutang semasa ada kaitan dengan hutang masa depan yang bakal diambil oleh kerajaan.

“Setiap kali pentadbiran baharu mengambil pendekatan berhutang tanpa mengambil kira defisit hutang dan penarafan hutang, ini bermakna jumlah faedah yang perlu dibayar akan berganda.

“Kalau sekarang RM40 bilion, lima tahun kemudian jadi RM60 bilion setahun.

“Adakah lebih baik kita membayar hutang melalui faedah lebih tinggi sehingga RM60 bilion setahun atau membelanjakan wang secara berhemah dan mengawal hutang supaya ia boleh digunakan untuk membantu secara langsung kumpulan yang terjejas?” Soalnya.

Rafizi berkata pinjaman melebihi defisit akan menyebabkan penarafan hutang negara lebih tinggi, sekali gus memerlukan kerajaan membayar faedah yang tinggi pada masa hadapan. – 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen